PRU15: Calon UMNO akan ditapis dengan teliti termasuk disemak di pejabat agama

Irwan Muhammad Zain
Oktober 25, 2022 14:05 MYT
Mengulas mengenai manifesto Barisan Nasional (BN) untuk berdepan PRU15, Ismail Sabri menjelaskan ia akan diumumkan apabila tiba masanya nanti. - Gambar Astro AWANI/Mohd Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Calon-calon yang akan mewakili UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti akan ditapis dengan teliti sebelum dinamakan untuk bertanding, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri menjelaskan, semua nama yang diserahkan akan disemak dengan semua agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dipilih.
Beliau menjelaskan, kali ini calon ditapis dengan teliti termasuk membuat semakan di pejabat agama Islam untuk memastikan tidak mempunyai sebarang masalah yang boleh menjejaskan pencalonannya.
"Kita sudah mendapatkan pembentangan daripada pengerusi perhubungan negeri pada peringkat pertama, mungkin kali kedua akan jumpa sekali lagi.
"Kita kena buat saringan juga antara nama-nama yang dicadangkan itu. Kita akan saring dengan PDRM, SPRM, insolvensi dan mungkin kali ini dengan pejabat agama.
"Dengan pejabat kadi pun kita kena semak juga, takut ada yang kahwin kat Siam ke, takut ada yang isu nafkah anak tak bayar ke, kalau dulu kita pernah check seperti itu kali ini lebih detail," katanya pada sidang media selepas mendapat taklimat tentang persiapan menghadapi PRU15 dan musim tengkujuh.
[TERKINI] Taklimat Khas Perdana Menteri sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI
Mengulas mengenai manifesto Barisan Nasional (BN) untuk berdepan PRU15, Ismail Sabri menjelaskan ia akan diumumkan apabila tiba masanya nanti.
Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan seramai 58,227 anggota polis akan terlihat pada hari mengundi dan memberi jaminan anggota polis dan agensi keselamatan lain mencukupi jika berlaku banjir pada hari mengundi.
#Malaysia Memilih #Calon BN #ismail sabri yaakob #PRU15
;