PRU15: Calon termuda PKR mahu ubah Kenering, pemimpin lama disifat sudah 'tepu'
Aida Aziz
November 15, 2022 18:22 MYT
November 15, 2022 18:22 MYT
IPOH: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering perlu pembaharuan secara menyeluruh bagi memastikan ia tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan serta ekonomi.
Calon termuda PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Kenering, Mohamad Jamean Zukepli, 28, berkata beliau bertekad memajukan Kenering khususnya dan Lenggong amnya.
Mengakui untuk menawan DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan kerja mudah memandangkan ia kubu kuat Barisan Nasional (BN), beliau yakin ia boleh dicapai dengan gerak kerja yang dilaksanakan.
"Saya sebagai anak muda di kawasan ini (Kenering)... saya sendiri orang Lenggong... saya lihat Lenggong ini sangat ketinggalan dari pelbagai sudut, berbanding di kawasan bandar.
"Saya lihat kawasan ini memerlukan pemimpin baharu, kerana yang sedia ada sangat 'tepu' dan tiada sebarang peningkatan serta pembaharuan daripada pelbagai segi.
"Betul, perjuangan ini tidak mudah dan saya sendiri masih baharu dalam parti. Sepanjang saya bekerja di kawasan tersebut, penerimaan penduduk positif dan mereka sudah mula peka dengan keperluan semasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat PKR Negeri Perak, di sini pada Selasa.
Hadir sama, jurucakap Bilik Gerakan Utama PKR Perak, Dr Lee Boon Chye.
Dalam pada itu, Mohamad Jamean berkata, antara usaha yang akan dilaksanakan jika diberi mandat pada PRU15 di DUN itu, merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, kemudahan awam dan kebajikan.
"Contohnya kita akan mewujudkan kemudahan pusat internet di setiap kampung, penambaikan sistem pengangkutan awam seperti bas ekspres ke Lenggong.
"Mewujudkan pusat pengumpulan hasil tanaman buah-buahan dengan kerjasama Fama, selain itu rumah mesra rakyat bagi penduduk yang belum memiliki rumah sendiri.
"Menyediakan biasiswa kepada asnaf dan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, menyediakan pengangkutan untuk warga tua dan fakir miskin bagi mendapatkan rawatan di klinik serta hospital," katanya.
Berlatarbelakangkan pendidikan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), beliau turut memegang jawatan Ketua Cabang Lenggong dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lenggong.
PRU15 memperlihatkan pertembungan tiga penjuru di DUN Kenering di antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH.
Mohamad Jamean bakal menentang Rohaida Mohamad Yaakun (BN-UMNO) dan Husairi Ariffin (PN-Pas).