PRU15: Calon parti lawan diminta jangan 'jaga tepi kain orang' - MCA
Bernama
November 17, 2022 21:53 MYT
November 17, 2022 21:53 MYT
BATU PAHAT: Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong meminta calon parti lawan agar tidak mencampuri hal dalaman atau 'menjaga tepi kain orang' dalam urusan mencari pemimpin tertinggi sekiranya sesebuah parti itu menang.
"Kita di BN (Barisan Nasional) sendiri pun tidak mencampuri hal mereka walaupun mereka telah menyatakan kemenangan mereka melalui tinjauan dan survei, kita tidak ambil tahu, perkara yang penting dalam BN adalah memenangi PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Pakatan Harapan yang mengingatkan pengundi sekiranya satu undi diberikan kepada BN bermakna ia adalah undi untuk Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri (PM).
Menyentuh mengenai pertemuannya dengan pekebun sayur di Yong Peng, penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam itu berkata pihaknya akan terus membela kebajikan dan cuba menyelesaikan masalah mereka jika diberikan kepercayaan sekali lagi menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.
MCA juga mengulangi pendirian parti itu yang menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon PM ke-10 sekiranya BN memenangi PRU15 sekali gus membentuk kerajaan.
Wee turut menasihati pengundi agar tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan bahawa MCA tidak memberikan sokongan kepada penyandang Parlimen Bera itu untuk menjadi PM.
Beliau berkata sokongan diberikan sepenuhnya agar Naib Presiden UMNO itu dapat meneruskan tugas sebagai ketua kerajaan bagi memastikan agenda yang direncanakan sebelum ini ada kesinambungannya.
"Sebelum ini, Majlis Tertinggi UMNO mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon PM ke-10, MCA sokong cadangan berkenaan dan sekarang, MCA tetap dengan pendirian untuk terus menyokong.
"Datuk Seri Ismail Sabri bukan hanya akan menjadi PM ke-9 malah beliau akan terus diangkat sebagai PM ke-10, itulah kesepakatan kita dalam BN. Ia tidak berubah sama sekali," katanya.
Wee berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Persatuan Pekebun Sayur Yong Peng dekat sini hari ini.
-- BERNAMA