PRU15: Calon mana bakal 'tersesat dalam dunia Tambun'?

Firdaus Azil
November 7, 2022 20:16 MYT
Langkah Anwar ke Tambun dilihat agak berisiko, namun sejauh mana risiko itu mampu menghalang misi PH ke Putrajaya?
KERUSI P063 Tambun, yang terletak kurang dari lima kilometer (km) dari Bandaraya Ipoh, merupakan antara kawasan Parlimen yang paling diberi perhatian, baik media tempatan dan antarabangsa, mahupun masyarakat di negara ini.
Suhu politik di kawasan ini berubah dari hangat ke menggelegak, sejurus selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau akan bertanding di kawasan itu, berdasarkan beberapa misi yang telah beliau dan pimpinan kanan PH gariskan sebelum ini.
Pertamanya, untuk mengajar dan menghukum pihak yang PH labelkan sebagai pengkhianat. Keduanya, menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan dalam usaha mereka menuju ke Putrajaya.
Atas faktor itu, Astro AWANI 'berkampung' selama seminggu di kawasan ini, menjelajah seberapa banyak kampung dan taman, kedai-kedai kopi, tempat hiburan, masjid-masjid dan pusat ibadat di beberapa pusat daerah mengundi di kawasan ini.

#MalaysiaMemilih Tambun sah hadapi saingan empat penjuru. Berikut senarai calon ikut turutan. PH - Anwar Ibrahim BN - Aminuddin Md Hanafiah Pejuang - Abdul Rahim Tahir PN- Ahmad Faizal Azumu pic.twitter.com/JRVJYwa82Z

— Firdaus Azil (@FirdausAzil) November 5, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
ADA APA DENGAN TAMBUN?
Berdasarkan statistik terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 160,645 pengundi berdaftar kali ini, di mana 79,586 daripada mereka adalah lelaki, dan 81,059 adalah perempuan.
Ia merupakan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding daftar pemilih yang digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, iaitu pertambahan sebanyak 52,882 pegundi hasil pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik.
Mengikut pecahan, pengundi berusia 18-20 tahun seramai 11,370 orang, 21-29 tahun (37,330 orang), dan 30-39 tahun (36,425 orang)
Untuk pengundi yang lebih berusia iaitu 40-49 tahun terdapat 26,951 orang, manakala 50-59 tahun pula seramai 21,828 orang.
Melihat kepada kategori warga emas, jumlahnya agak signifikan iaitu, 60-69 tahun seramai 16,786 orang, 70-79 tahun (7,537 orang), 80-89 tahun (2,075 orang), dan yang berusia 90 tahun ke atas seramai 343 orang.
Cabaran kepada semua calon juga perlu mengambil kira bagaimana mereka harus – mendidik pengundi berusia antara 18-29 tahun yang merangkumi 30 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan, dan kedua untuk meraih sokongan dalam tempoh dua minggu berkempen.
Untuk rekod, selain cabaran dari Anwar (PH), penyandang Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perikatan Nasional) juga bakal diberi saingan oleh Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN), dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).
Di kawasan Parlimen ini terdapat dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Manjoi yang disandang Pengarah Jentera Pilihan Raya Parti Amanah Negara Datuk Asmuni Awi (PH), dan Muhamad Arafat Varizai Mahamad (PH), yang juga Naib Pengerusi PKR Perak.
Melihat kepada komposisi masyarakat berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (MyCensus 2020), 71.2 peratus terdiri daripada Melayu dan Bumiputera, 18.1 peratus masyarakat Cina, 10.3 peratus masyarakat India, selain peratusan kecil untuk yang lain-lain.
APA ADA DI TAMBUN SELAIN LIMAU BALI?
Selain penanaman limau bali, Tambun terlebih dahulu dikenali sebagai antara pusat pelombongan bijih timah yang utama di Perak, selain industri penanaman kopi yang agak meluas.
Mengikut MyCensus 2020, kadar pengangguran dan kemiskinan agak rendah berbanding median antara Parlimen, manakala pendapatan dan perbelanjaan isi rumah sedikit melebihi penengah median antara Parlimen.
Dari segi kemudahan asas, akses kepada bekalan elektrik terletak dalam lingkungan tengah median antara Parlimen, manakala akses bekalan air agak tinggi berbanding garis tengah median antara Parlimen.
Namun dari segi infrastruktur, ia dilihat tidak mencukupi apabila beberapa kategori dilihat agak rendah berbanding median antara Parlimen iaitu - hospital, klinik kesihatan, sekolah dan kedai runcit bagi setiap 1,000 penduduk.
Hanya jumlah balai polis dan bomba bagi setiap 1,000 penduduk dilihat sedikit melebihi garis tengah median antara Parlimen.
SENTIMEN PENDUDUK SETEMPAT
Di kawasan Manjoi, terletaknya Gugusan Manjoi, iaitu kampung Melayu yang terbesar di Perak, yang terdiri daripada Kampung Manjoi, Kampung Tengku Hussein, Kampung Sungai Tapah, Kampung Dato Ahmad Said, dan Kampung Jelapang baru.
Penduduk yang berusia 59 tahun ke atas yang lazimnya menghabiskan waktu petang mereka di kedai-kedai kopi, dan pergi ke surau atau masjid dari Maghrib ke Asar, rata-rata mempunyai pendapat politik yang lebih kurang sama.

#MalaysiaMemilih #Tambun Spoke with a young grab driver yesterday. Malay, 26 y/o, married w/ no kids. Siang bantu wife meniaga, malam part time grab. 1st time voter. Blur bila ditanya apa tu BN, PN, PH, GTA. Kenal calon, tapi tak tahu nak pilih siapa. pic.twitter.com/ztazYUWbAf

— Firdaus Azil (@FirdausAzil) November 4, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Calon di DUN Manjoi haruslah seorang yang mementingkan agama Islam, dan datang datang dari parti yang berasaskan ke-Melayuan.
Rata-rata mereka melihat Anwar sebagai seorang pemimpin yang mungkin boleh diterima sebagai wakil di kawasan itu, cuma ia mungkin sedikit sebanyak terhalang dengan satu faktor – “DAP”.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati sentimen anti-DAP agak menebal dalam komuniti Melayu di situ, apatah lagi selepas sejarah menyaksikan bagaimana terdapat pertikaian mengenai isu pemberian status tanah hak milik tanah selama 999 tahun kepada kampung-kampung baru Cina.
Rata-rata NGO dan parti politik, khususnya UMNO di Perak, menganggap pemberian status hak milik selama 999 tahun itu tidak ubah seperti memberi status hak milik kekal, selain mendakwa ia jelas melanggar Kanun Tanah Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, kesemua parti politik juga mengakui amat sukar untuk membaca sentimen golongan pengundi baharu, khususnya yang berusia antara 18 hingga 29 tahun, memandangkan golongan itu tidak menunjukkan kecenderungan untuk menunjukkan sokongan secara terbuka terhadap mana-mana calon atau parti bertanding.
“Kami rasa Anwar okey, masalahnya belakang dia ada DAP,” ujar salah seorang pakcik yang ditemui di sebuah kedai kopi berhampiran Mydin Manjoi.
Namun melihat kepada kawasan yang majoritinya bukan Melayu, seperti di Tanjung Rambutan, Kantan dan Kuala Kuang, kelihatannya penduduk di situ akan ‘solid’ memberikan sokongan kepada Pengerusi PH itu.
Bagi golongan pengundi muda yang menjadi fokus utama Astro AWANI sepanjang berkampung di sini, rata-rata mereka masih belum menunjukkan sokongan yang jelas kepada mana-mana calon.
Sedikit merisaukan apakah pertimbangan sebenar mereka dalam menentukan sokongan memandangkan sebahagian besar daripada mereka masih belum dapat membezakan apa itu Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Pakatan Harapan, mahupun Gerakan Tanah Air sendiri.
Berikut merupakan pandangan awal Astro AWANI setelah kempen dan program calon memasuki hari ketiga (7 November 2022).
AYOR ATAU AYAQ ... MAMPUKAH PEJA PERTAHANKAN TAMBUN?
Pada pilihan raya umum yang lepas, Ahmad Faizal yang ketika itu bertanding di bawah payung PH dengan menggunakan logo PKR, berjaya mencipta kejutan dengan menewaskan penyandang dari BN, yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Dalam saingan tiga penjuru itu, Timbalan Presiden Bersatu itu mendapat 38,661 undi sekali gus memenangi saingan tiga penjuru dengan majoriti sebanyak 5,320 undi, menewaskan Ahmad Husni (33,341 undi) dan calon Pas, Ibrahim Zakaria (14,948 undi).
Mengambil kira Pas kini berada di bawah Perikatan Nasional, maka undi penyokong parti itu akan terus bersama dengan Ahmad Faizal.
Namun, harus diingat faktor ‘beri peluang’ dan sokongan penyokong Pakatan Harapan ketika itu hampir pasti tidak berulang selepas Ahmad Faizal dilabel sebagai ‘pengkhianat’.

#MalaysiaMemilih Calon PH DS Anwar Ibrahim dibawa menaiki buggy untuk ke dalam PPC. Calon PN DS Ahmad Faizal Azumu disambut dengan sorakan dari penyokong PH @501Awani pic.twitter.com/RamCjemGDy

— Firdaus Azil (@FirdausAzil) November 5, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Label itu hadir susulan tindakan Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan keluar dari PH, sekaligus mengakibatkan jatuhnya Kerajaan Persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas 22 bulan memerintah.
Selepas Muhyiddin diangkat menjadi Perdana Menteri seterusnya, Ahmad Faizal yang ketika itu Menteri Besar Perak, terpaksa melepaskan jawatannya selepas wujud undi tidak percaya, dan seterusnya menjadikan Datuk Seri Saarani Mohamad menjadi Menteri Besar seterusnya.
Beberapa pemimpin tempatan daripada PN berpendapat Ahmad Faizal ada sedikit peluang untuk menewaskan Anwar, namun peluang itu mungkin terjejas memandangkan wujud unsur tidak puas hati jentera tempatan dengan ‘orang-orang’ di sekeliling Ahmad Faizal.
Berdasarkan statusnya sebagai Menteri (interim) Belia dan Sukan, Ahmad Faizal dilihat mempunyai kelebihan untuk menambat hati dan sokongan pengundi muda melalui program yang agresif dan bersesuaian sepanjang tempoh berkempen.
PERDANA MENTERI DARI TAMBUN?
Anwar Ibrahim hadir ke Tambun dengan misi yang cukup besar, menjadikan kawasan ini sebagai kubu untuk dirinya bertapak dalam usaha menjadikan Perak negeri barisan hadapan menuju ke Putrajaya.
Difahamkan segala program dan strategi Anwar akan dirangka oleh bekas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador.
Naratif yang dibawa agak jelas, iaitu memberikan satu perasaan ‘gemilang’ untuk pengundi dan masyarakat Tambun, bahawa Anwar bakal menjadi Perdana Menteri dari Perak, sekiranya PH berjaya mendapat majoriti yang mencukupi.
Namun ia dilihat langkah yang agak berisiko memandangkan status beliau selaku ‘Jeneral’ kepada angkatan PH, memerlukan beliau bergerak ke seluruh negara, berbeza dengan lawannya yang akan terus berada di kawasan ini sehingga ke hari pengundian.
Dengan jumlah pengundi yang agak besar, iaitu sekitar 160,000 orang, maka Anwar perlu mengimbangi kempennya di luar, serta usaha untuk bertemu dengan seramai pengundi yang mampu.
Sifir matematiknya di atas kertas agak mudah, iaitu berdasarkan 28 peratus undi Cina dan India, beliau hanya perlu 23 ke 25 peratus lagi sokongan pengundi Melayu untuk menjamin kemenangan, akan tetapi realitinya bukan seperti itu.
Selain daripada Farhash selaku Pengarah Jentera Pilihan Raya PH untuk Tambun, Anwar juga perlu bersandar kepada prestasi dan gerak kerja Asmuni dan Muhamad Arafat, selaku penyandang DUN Manjoi dan Hulu Kinta.
Namun laporan awal serta sentimen masyarakat setempat menyebut, salah seorang daripada dua penyandang ini, hampir pasti tidak dapat mempertahankan kerusi yang disandang, kerana dilihat tidak memenuhi jangkaan dari segi perkhidmatan.
Jika Anwar gagal, maka ia akan memberikan impak yang cukup besar kepada usaha PH menuju ke Putrajaya, selain faktor usianya yang kini sudah menjangkau 75 tahun, sekaligus menyempitkan lagi tempoh yang beliau ada untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.
SIAPA DATUK AMIN DARI BARISAN NASIONAL?
Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, merupakan individu yang dipertaruhkan BN untuk merampas kembali Parlimen tersebut.
Biarpun agak 'pemalu' dengan media, namun tinjauan Astro AWANI mendapati hampir setiap hari terdapat aktiviti atau program untuk menjejaki seramai mungkin penduduk di kawasan Parlimen ini.
Difahamkan Aminuddin, yang lebih dikenali sebagai Datuk Amin di kalangan penduduk setempat, lebih dikenali khususnya dalam kawasan Manjoi, kerana gerak kerja aktif beliau sejak beberapa tahun lepas selepas mengambil alih kepimpinan bahagian dari Ahmad Husni.
“Kami adalah underdog, kami sedar,” katanya mengenai persaingan beliau dengan dua nama yang lebih dikenali di peringkat persekutuan.
Namun bekas ADUN Hulu Kinta itu berpandangan, status ‘giant killer’ itu bukanlah sesuatu yang mustahil berdasarkan beberapa faktor – beliau anak jati yang sekian lama berkhidmat di kawasan itu, dan percaya penduduk Tambun lebih mementingkan khidmat bakti berbanding retorik politik.
PELUANG PEJUANG RUMIT?
Bagi calon Pejuang, Abdul Rahim, beliau mengakui pertandingan di Tambung adalah amat rumit untuk dirinya, biarpun di belakangnya ada sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bermula pada hari penamaan calon, gerak kerja kempennya mungkin tidak sehebat calon lain yang lebih agresif dalam mengetengahkan jentera.
Namun Abdul Rahim percaya beliau boleh mencipta keajaiban sekiranya strategi untuk menambat pengundi muda kesampaian.
SIAPA ADA PELUANG UNTUK MENANG?
Pandangan awal Astro AWANI sebelum ini melihat ini hanyalah pertembungan antara dua parti iaitu BN (Aminuddin) dan PH (Anwar), namun semenjak tempoh beberapa hari kebelakangan ini, PN juga telah meningkatkan gerak kerja mereka dengan lebih tersusun, memandangkan mereka ada kekuatan Pas sebagai jentera akar umbi.
Namun, seperti yang pelumba legenda negara, Wazi Abdul Hamid yang juga anak jati Tambun melihat, sokongan anak muda itu bakal menjadi penentu kepada peluang kemenangan antara tiga calon ini.
“Anak muda ini kaedahnya cepat panas, dan cepat sejuk. Ada kemungkinan malam ini mereka tiba-tiba rajin dengar ceramah, atau melihat kandungan ceramah melalui media sosial, dan tiba-tiba tertarik untuk menyokong parti itu.
“Tapi itu tidak menjamin sokongan berterusan. Sila-silap sehari sebelum pengundian, malah ketika melangkah ke pusat pengundian, mereka boleh ubah fikiran. Bukan nak kata mereka tidak celik politik atau naif, tetapi kerana mereka mungkin membuat penilaian yang berbeza dari kita,” katanya lagi.
Apapun, tarikh keramat 19 November yang merupakan hari pengundian bakal menjadi detik penentu yang muktamad, siapa yang 'tersesat' di dunia Tambun, yang terkenal dengan tarikan pelancongan taman tema 'Lost World of Tambun'.
#Anwar Ibrahim #Ahmad Faizal Azumu #Aminuddin Md Hanafiah #parlimen tambun
;