PRU15: Calon DUN Kamunting sandar rekod perkhidmatan tarik sokongan pengundi

Abd Razak Mohd Ali
November 17, 2022 11:15 MYT
Pada PRU15 ini, Ahmad Salimin (gambar) akan bertembung dengan penyandang Dr Muhd Fadhil Nurudin dari Pakatan Harapan dan Mohd Fakhruddin Abdul Aziz mewakili Perikatan Nasional di DUN Kamunting. - Foto Astro AWANI
TAIPING: Kurang 48 jam untuk rakyat Malaysia memilih pemimpin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon-calon giat melakukan pecutan terakhir untuk menarik lebih banyak sokongan pengundi.
Bagaimanapun, bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kamunting, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffei, beliau menyandarkan kepada rekod perkhidmatan sepanjang menjadi Ketua Bahagian UMNO sejak 2008.
"Respons yang saya dapat, Alhamdulillah, amat memberansangkan, kerana mereka memerlukan calon wakil rakyat yang benar-benar dapat membantu mereka di DUN Kamunting ini.
"Dan berdasarkan kepada 'track record' saya 14 tahun sebagai ketua bahagian, kita tidak pernah berhenti membantu rakyat dari bermulanya 2008 sehingga kini.
"Walaupun 2018 apabila kita tewas, UMNO Bahagian Taiping tetap beri bantuan kepada rakyat Taiping, khususnya di Kamunting, kerana kita memikirkan bahawa rakyat patut didahulukan," katanya.
Menurutnya, antara isu utama ditimbulkan oleh penduduk Kamunting ialah mengenai kos sara hidup yang sangat terjejas selepas pandemik COVID-19 dan pendidikan.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengambil langkah melestarikan ekonomi rakyat melalui pemerkasaan tempat-tempat perniagaan di samping membantu merealisasikan pelan ‘The Greater Kamunting’ yang diilhamkan kerajaan negeri.
Pada PRU15 ini, Ahmad Salimin akan bertembung dengan penyandang, Dr Muhd Fadhil Nurudin dari Pakatan Harapan dan Mohd Fakhruddin Abdul Aziz mewakili Perikatan Nasional.
Pada PRU14, Muhd Fadhil menewaskan calon BN, Datuk Mohd Zahir Abdul Khalid dan Fakhrudin dengan majoriti 1,780 undi.
SEMAK SEMUA CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI
#DUN Kamunting #PRU15 #Ahmad Shalimin Ahmad Shaffei #ketua bahagian umno
;