PRU15: Calon BN bagi Tanjong Karang, Jempol, Kuala Pilah cetus tanda tanya
Raja Hisyam Raja Zaid
November 1, 2022 00:09 MYT
November 1, 2022 00:09 MYT
KUALA LUMPUR: Beberapa kerusi Parlimen di beberapa negeri menjadi tanda tanya apabila tidak diumumkan calonnya oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Mengumumkan Bakal Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) malam ini.
Antara yang tidak disebut termasuklah Parlimen Tanjong Karang, Selangor; Parlimen Jempol dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Walaupun kelibat penyandang bagi kerusi Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar kelihatan pada majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn itu, namun namanya tidak diumumkan.
Petugas media cuba mendapatkan jawapan daripada Zahid sejurus majlis tersebut namun gagal apabila beliau enggan menjawab sebarang soalan yang diajukan.
Pada majlis tersebut sejumlah 165 calon bagi kerusi parlimen yang akan mewakili BN pada PRU15 telah diumumkan .