PRU15: Calon bertanding di Parlimen Sibu perlu utamakan isu tempatan - PBB

Missel Ernie Bick
Oktober 18, 2022 11:40 MYT
Annuar (gambar) menjelaskan peranan golongan muda berusia 18 hingga 28 tahun penting pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini. - Astro AWANI.
SIBU: Setiap individu yang dicalonkan untuk bertanding di kerusi Parlimen P212 Sibu perlu mengutamakan isu tempatan terlebih dahulu berbanding isu nasional, tegas Datuk Annuar Rapaee.
Menurut Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, perkara itu penting memandangkan pelbagai isu yang perlu dibangkitkan di Sibu untuk keselesaan rakyat.
"Malah bandar Sibu memerlukan seorang pemimpin yang mampu melaksanakan pelbagai projek pembangunan," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat PBB Cawangan Nangka di Dewan MUC di sini pada Isnin.
Annuar yang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menjelaskan peranan golongan muda berusia 18 hingga 28 tahun penting pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini.
Sehubungan itu, kata beliau setiap individu yang diumumkan sebagai calon di kerusi parlimen tersebut perlu mempunyai strategi tersendiri untuk menarik undi golongan berkenaan memandangkan para belia berminat kepada personaliti dan bukannya ideologi politik.
"Sebab itulah calon penting. Mereka (pengundi baru) tidak ada parti pilihan selain mereka mahu tahu siapa calon. Calon itu penting untuk pengundi berumur 18 tahun ini. Jadi pendapat saya mereka akan pilih siapa calon," katanya.
Parlimen Sibu pernah menjadi kubu kuat GPS, namun dalam tiga edisi terakhir pilihan raya umum, bermula Pilihan Raya Kecil Sibu 2010, kerusi itu telah ditakluki Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Kawasan parlimen ini mempunyai 63 peratus pengundi Cina, selain 25 peratus pengundi bumiputera bukan Islam dan 13 peratus pengundi bumiputera Islam.
#Parlimen P212 Sibu #politik sarawak #Malaysia Memilih #Annuar Rapaee #PRU15
;