PRU15: Calon Bebas buat kejutan, Riduan Rubin menang di Tenom

Hasimi Muhamad
November 19, 2022 00:28 MYT
Riduan menang dengan 10,027 undi dan majoriti 1,108 menewaskan penyandang kerusi berkenaan Noorita Sual dari Pakatan Harapan. - FB Riduan Rubin
KOTA KINABALU: Calon Bebas, Riduan Rubin cipta kejutan di Sabah selepas berjaya menawan kerusi P.181 Tenom pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menerusi saingan lima penjuru, Riduan menang dengan 10,027 undi dan majoriti 1,108 menewaskan penyandang kerusi berkenaan Noorita Sual (Pakatan Harapan) yang meraih 8,919 undi.
Calon Barisan Nasional (BN), Jamawi Ja'afar pula 8,625 undi; calon Parti Warisan (Warisan), Ukim Buandi (992 undi), manakala calon termuda Peggy Cha Zhi Ting (Bebas) hanya mendapat 86 undi, sekali gus hilang deposit.
Kerusi Parlimen Tenom antara yang mencuri tumpuan susulan berlaku kekecohan pada proses penamaan calon, 5 November lalu kerana pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Riduan, yang juga anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong daripada Bersatu, Datuk Rubin Balang kemudian menyertai KDM.
#PRU15 #Tenom #calon bebas menang #Riduan Rubin
;