PRU15: Calon atau parti lebih penting di kerusi Ampang?
Rahimah Abdullah
Oktober 25, 2022 06:00 MYT
Oktober 25, 2022 06:00 MYT
AMPANG: Parlimen Ampang, adalah antara kerusi 'panas' di Selangor yang akan menyaksikan penyandangnya Datuk Zuraida Kamaruddin bakal berentap dengan nama-nama besar yang akan diumumkan parti lawan tidak lama lagi.
Berdasarkan rekod Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, beliau kelihatan mempunyai pengaruh yang kuat dan menjadi sebutan dalam kalangan penduduk di Ampang.
Namun, dek kerana terpalit dengan krisis politik yang bermula dengan peristiwa 'Langkah Sheraton', adakah sokongan sama akan diperoleh Zuraida?
Malah, wujud persoalan sama ada kerusi Ampang yang dilabel sesetengah pihak sebagai 'kerusi pengkhianat' akan mempengaruhi sokongan berkenaan.
Semuanya terserah kepada pengundi, sama ada mereka lebih memilih calon berbanding menumpukan kepada parti yang diwakili.
Salah seorang pengundi Ampang yang ditemui, Abu Samah Embi, 70 tahun, dia memilih wakil rakyat yang mampu bekerja untuk rakyat dan sentiasa turun padang.
Dalam masa sama, dia lebih mengutamakan kriteria calon berbanding parti yang diwakili.
"Kalau saya, saya pilih yang berpengalaman dan yang selalu datang berjumpa dengan orang-orang sini (Ampang).
"Saya lebih melihat kepada calon berbanding parti sebab calon yang selalu datang dan bermesra dengan kami, kami ada pandangan yang baik terhadap dia.
"Terlalu banyak desas-desus yang baik dan tidak baik. Saya akan tentukan nanti (hari mengundi), namun saya akan pilih wakil rakyat yang selalu turun sini (Ampang)," katanya kepada Astro AWANI.
Turut senada, seorang lagi pengundi di parlimen itu, Firdaus Desa, 34 tahun, yang mahukan wakil rakyat yang suka mengambil berat perihal pengundi.
"Saya mengundi sebab calon. Saya tengok pada calon. Sebab, kita undi dia, kalau dia ambil berat pasal penduduk di sini.
"Biasanya yang saya nampak, selepas mengundi ada calon hilang. Setakat ini, saya lihat wakil rakyat sini masih ambil berat mengenai pengundi di sini," katanya.
Dalam pada itu, bagi seorang pengundi, Muhammad Reza Musa, 35 tahun, dia tidak kisah dengan krisis politik yang terpalit terhadap calon di Ampang, asalkan wakil rakyat itu boleh buat kerja untuk rakyat.
"Saya rasa tidak ada masalah mana-mana parti pun, yang penting peruntukan dia dapat untuk membantu rakyat-rakyat di sini.
"Macam sekarang ini, orang sudah tidak tengok pada parti. Saya tengok pada calon itu sendiri iaitu cara calon bekerja. Organisasi calon, dia atau wakilnya perlu selalu bertanya mengenai penduduk di Ampang ini," jelasnya.
Zuraida sebelum ini menyatakan akan mempertahankan kerusi parlimen Ampang yang disandangnya dan masih menunggu keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menerima kemasukan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang diterajuinya bagi menghadapi PRU15.
Pada masa sama, PKR dilapor akan mengumumkan calon yang akan bertanding di kerusi itu pada Jumaat ini dan nama-nama seperti penyandang kerusi Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut menjadi sebutan.
BN pula masih berteka-teki mengenai siapakah yang akan mewakili parti, dan dilaporkan, UMNO Ampang menolak keras cadangan penyertaan PBM untuk bersama-sama menghadapi PRU15.
Untuk rekod, pada PRU14, Zuraida memenangi parlimen Ampang di bawah tiket PKR dengan majoriti 41,956 undi dalam pertandingan empat penjuru iaitu dengan calon Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas tiket PKR selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018.
Bekas Ketua Wanita PKR itu bagaimanapun dipecat dari parti itu bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali setelah menyertai Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Langkah Sheraton, sekali gus menumbangkan kerajaan PH.
Selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Muhyiddin, pada Mei lalu, Zuraida bertindak keluar parti untuk menyertai PBM.