PRU15: Cadangan pindaan perlembagaan galak lebih ramai wanita jadi calon bertanding

Faida Rahim
November 4, 2022 21:03 MYT
Presiden Global Girls For Girls, Izzana Salleh (tengah) berpendapat sekiranya perkara ini dipandang serius dalam sebuah manifesto, impian untuk melihat lebih ramai wanita dalam arena politik bakal menjadi realiti. - Gambar Instagram/izzanasalleh
KUALA LUMPUR: Di Malaysia, kesedaran politik dalam kalangan wanita semakin mendapat tempat dengan akses pendidikan lebih baik termasuk sokongan kerajaan yang menggalakan kaum itu aktif dalam arena berkenaan.
Walaupun peratusan yang terlibat masih belum mencecah sasaran iaitu 30 peratus tetapi peranan wanita mampu membantu kemenangan sesebuah parti politik juga dilihat semakin menyerlah.
Presiden Global Girls For Girls, Izzana Salleh berpendapat sekiranya perkara ini dipandang serius dalam sebuah manifesto, impian untuk melihat lebih ramai wanita dalam arena politik bakal menjadi realiti.
“Sebagai salah seorang wakil dari badan bukan kerajaan (NGO) yang memartabatkan kaum wanita, benda ini bukan perbicangan yang baharu malah sudah 20 tahun dibincangkan.
“Kita dan beri laluan, sudah bercakap dengan perlahan dan rasanya sudah cukup. Kalau hendak masukkan dalam manifesto, kita nak lihat janji dan memastikan ia dilaksanakan. Mungkin dari segi pindaan perlembagaan.
“Masih ada masa lagi memperbaiki apa yang tidak betul memandangkan penamaan calon pun masih belum bermula. Namun katakan ia tidak dapat diperbetulkan, mungkin pindaan perlembagaan untuk meletakkan lebih ramai kaum wanita terlibat sebagai calon bertanding bakal menjadi kenyataan,” katanya kepada Astro AWANI di program Malaysia Memilih yang berlangsung di Bangi Gateway, sebentar tadi.
Sementara itu, Izzana juga berpendapat golongan belia kini lebih bijak memilih calon pilihan berdasarkan apa yang boleh diperhatikan di media sosial.
“Pengundi sekarang mempunyai akses lebih luas untuk memeriksa latar belakang calon yang bertanding di kawasan mereka. Dengan teknologi sedia ada, tak susah untuk lihat maklumat mengenai calon.
“Kita boleh buat homework sedikit dengan melihat pada laman web, Instagram calon itu sendiri. Kalau rasa calon itu sesuai untuk jadi wakil, go for that person,” katanya.
Dalam pada itu, Izzana turut menyeru anak muda untuk menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk turun mengundi pada 19 November ini.
“Kalau kita lihat wakil rakyat dah berjanji dan tak dilaksanakan, itu tanggungjawab kita untuk singkirkan di PRU akan datang. Gunakan hak dan suara anda untuk memilih calon yang tepat,” katanya lagi.
#Izzana Salleh #PRU15 #calon wanita #pindaan perlembagaan
;