PRU15: Cabaran debat, lebih baik berdialog dengan masyarakat - Hasni
Hilmi Malik
November 6, 2022 15:06 MYT
November 6, 2022 15:06 MYT
SIMPANG RENGGAM: Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad lebih terbuka untuk berdialog dengan penduduk setempat berbanding dengan cabaran untuk mengadakan debat terbuka dalam kalangan calon-calon yang bertanding di Parlimen Simpang Renggam.
Ujar calon BN itu, sesi berdialog bersama masyarakat dilihat lebih bermanfaat sewaktu musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya rasa orang Simpang Renggam pun dah tidak berminat nak dengar (debat terbuka),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout bertemu pengundi di Taman Desa Sejahtera pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai pelawaan penyandang kerusi Simpang Renggam yang juga calon Pakatan Harapan (PH), Maszlee Malik bagi mengadakan debat terbuka menjelang beberapa hari sebelum pengundian.
Mengulas lanjut, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata, perkara seumpama itu sudah biasa dibincangkan di peringkat daerah sewaktu terdapat sesi perjumpaan bersama pihak-pihak terlibat.
"Berdebat hanyalah untuk keperluan lain. Jadi, saya rasa tidak ada keperluan untuk PRU ini, tidak perlu.
"Setuju itu sebelum ini dalam bentuk macam mana. Dia (Maszlee) bertanya "Datuk kita nak berdebat".
“Saya tidak fikir dia bertanya,” jelas Hasni.
Maszlee pada Sabtu menyatakan cadangan itu telah mendapat persetujuan kesemua calon yang bertanding di kerusi terbabit sewaktu sesi penyerahan borang pencalonan.
Dalam masa sama, bekas Menteri Pendidikan itu juga mengharapkan agar debat tersebut dapat diadakan secara langsung.