PRU15: Bung Moktar sifatkan kekalahan BN sebagai sejarah terburuk
Irfan Faruqi
November 20, 2022 17:20 MYT
November 20, 2022 17:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah menyifatkan kekalahan gabungan parti politik itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai sejarah terburuk sejak penubuhannya.
Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kepimpinan parti perlu menerima keputusan yang telah dibuat rakyat walaupun BN menawarkan kestabilan dan kemakmuran.
"Ini adalah (kekalahan) terburuk dalam sejarah UMNO dan BN. Tetapi kita perlu menerima keputusan ini.
"Rakyat menolak kita.... tidak mengapa. Kita telah menawarkan kestabilan dan kemakmuran tetapi ditolak rakyat. So kita berusaha cara lain," katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Biro Politik UMNO di WTCKL pada Ahad.
BN pada PRU15 hanya memenangi 30 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Selain itu, ditanya sama ada terdapat kewajaran Pengerusi BN dan Presiden UMNo, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meletak jawatan, Bung berkata ia tidak perlu sampai ke tahap itu.
Apa yang perlu dilakukan menurutnya adalah berbincang sebelum keputusan mendesak dilakukan.
"Ini kerana semua pemimpin UMNO perlu bertanggungjawab disebabkan ialah keputusan bersama. Kalau desak letak jawatan, semualah kena letak jawatan," katanya.