PRU15: Bung Moktar, Maximus Ongkili kekal pertahan kerusi

Hasimi Muhamad
November 2, 2022 16:09 MYT
Bung Moktar akan mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan yang dimenangi sejak 1999. - Fail
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar kekal mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu ketika mengumumkan calon-calon BN sebentar tadi.
“Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, saya sendiri (calon),” katanya ketika mengumumkan perkara tersebut.
Timbalan Ketua Menteri itu akan mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi sejak 1999.
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN
Pada PRU14, beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 9,478 undi dalam pertembungan tiga penjuru bagi menentang calon Parti Warisan (Warisan) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Sabah).
Bung Moktar memperoleh sebanyak 14,465 undi menewaskan pencabar terdekatnya Ghazali Abdul Ghani daripada Warisan yang memperoleh 4,987 undi.
Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan (Warisan) belum mengumumkan calon di kerusi tersebut.
Sementara itu, Datuk Seri Johnity Maximus Ongkili turut dicalonkan semula di Parlimen Kota Marudu.
Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) sebelum ini dilaporkan akan berpindah kerusi ke Parlimen Tuaran.
Maximus penyandang Kerusi Parlimen Kota Marudu sejak 1995.
Maximus dijangka ditentang oleh calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Shahrizal Denci.
Terdahulu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN mengumumkan 24 calon mereka bagi PRU15.
Bagaimanapun, kerusi Parlimen Beluran masih lagi dalam perbincangan.
#Calon PRU15 #Bung Moktar #PRU15 #BN Sabah
;