PRU15: 'Buku Tommy Thomas, pengampunan Anwar perlu jadi peluru hentam pembangkang' - Ismail Sabri
Amirrul Rabbani
Oktober 17, 2022 20:49 MYT
Oktober 17, 2022 20:49 MYT
BAGAN DATUK: Laporan siasatan ke atas dakwaan buku bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’ tulisan Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang telah dinyahklasfikasikan harus dijadikan ‘peluru’ Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jentera komunikasi BN (BN Comms) perlu memanfaatkan peluang berkenaan untuk menentang pembangkang.
“Saya dah beri ‘peluru’... contohnya kita sudah dedahkan kepada umum tentang laporan oleh jawatankuasa khas, menyiasat Tommy Thomas.
“Saya dah beri peluru banyak-banyak. Saya sudah minta kepada menteri undang-undang supaya keluarkan dalam laman web Menteri Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara terperinci mengenai apa dilakukan dan kesalahan-kesalahan oleh Tommy Thomas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri berkata isu Pulau Batu Puteh dan pengampunan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mempunyai keraguan juga harus dijadikan senjata melawan pembangkang.
Tegasnya, selain menyerang Pakatan Harapan (PH), jentera BN juga perlu melakukan tindakan sama ke atas Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan kemenangan BN pada PRU15.
“Jadi ini perkara-perkara yang boleh kita kita bangkitkan. Bukan setakat jawab, tetapi hentam mereka.
“Tetapi mungkin selama ini kita hentam sesama sendiri, (sampai) lupa hendak hentam pembangkang. Jadi, mulai hari ini dengan solidariti yang ada, tugas kita adalah untuk hentam musuh kita iaitu pembangkang.
“Ini supaya kita jadikan cita-cita mereka untuk memerintah Putrajaya mahupun Negeri Perak ini sebagai ‘angan-angan Mat Jenin’,” katanya.
Pada 13 Oktober lalu, kerajaan bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan laporan Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk"My Story: Justice In The Wilderness" tulisan Thomas.
Dua pasukan petugas khas telah membentangkan laporan siasatan dakwaan buku tersebut dan laporan semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 September dan 7 Oktober yang lalu.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata BN bukan sahaja perlu menang pada PRU15 malah perlu menjadi parti dominan bagi memastikan pentadbiran kerajaan selepas pilihan raya lebih stabil.
"Memang betul saya jadi Perdana Menteri, tapi dalam Parlimen kerajaan kerusi kita tak cukup. Walaupun saya jadi Perdana Menteri, setiap masa kita tertanya-tanya kalau mereka tarik lima orang, kita tumbang.
"Jadi pada PRU15 pastikan kita jadi parti dominan. Kali ini, kita kena menguasai Kabinet sepenuhnya sekurang-kurangnya 80 kerusi. Kalau 80 kerusi barulah kita kuat, baru orang nak dengar cakap kita," katanya.