PRU15: Bukan masa pecah belah, rebut jawatan, jatuhkan kawan - Noraini

Harits Asyraf Hasnan
Mac 27, 2021 14:07 MYT
Noraini menggesa Wanita UMNO untuk menjadikan perhimpunan kali ini sebagai wadah kebersatuan, berbincang dan bermuhasabah, membina pasak perjuangan dan menguatkan benteng pertahanan. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: UMNO tidak lagi boleh berbalah dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tegas Ketua Wanitanya, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Ujarnya, isu pemilihan parti perlu diketepikan buat sementara waktu lantaran PRU15 merupakan pertempuran yang sangat penting kepada parti itu.
"Apa yang penting, saya ingatkan sekali lagi, kita tidak ada masa lagi untuk berbalah dan berpecah belah merebut jawatan, menjatuhkan kawan dan mensabotaj perjalanan parti.
"Tunggu seketika bab pemilihan parti. Kalau parti ini tewas lagi, apa guna menang tetapi parti semakin hilang di hati rakyat, lebih-lebih lagi ahli-ahli akar umbi," katanya semasa berucap dalam Persidangan Perwakilan Wanita di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Noraini berkata UMNO perlu bersedia untuk memasuki medan perang dan mengambil kekuatan seolah-olah parti itu masih bergelar pembangkang.
"Kita harus bersedia dari segi mental bahawa kita berhadapan dengan keadaan yang serba kekurangan, terpaksa menggunakan sumber yang kecil dan terhad dalam pilihan raya akan datang.
"Namun, itu semua bukan penghalang untuk kita mencapai kemenangan dalam PRU15. Kita mempunyai jentera yang mantap, JR (Jalinan Rakyat) dan Skuad Sayang yang akan meneruskan legasinya, dan Insya-Allah saya percaya sejak kekalahan kita pada PRU yang lalu, Wanita sudah memperbaiki gerak kerja dan modus operandinya.
"Dan kesilapan lalu kita telah perbaiki bersama di pelbagai siri PRK (pilihan raya kecil) yang telah kita menang bergaya," katanya.
Justeru, beliau menggesa Wanita UMNO untuk menjadikan perhimpunan kali ini sebagai wadah kebersatuan, berbincang dan bermuhasabah, membina pasak perjuangan, menguatkan benteng pertahanan dan mengukuhkan lagi strategi serangan.
#Wanita UMNO #pilihan raya umum #pemilihan #perhimpunan #pilihan raya kecil #pembangkang #pilihan raya #PRU15 #Perhimpunan Agung UMNO #perjalanan politik UMNO #UMNO PRU15 #Pemilihan UMNO
;