PRU15: "Bukan DAP tentukan kemenangan Warisan" - Shafie jawab Kit Siang

Hasimi Muhamad
November 5, 2022 20:03 MYT
Mohd Shafie berkata, jumlah kerusi yang akan dimenangi oleh parti itu bakal diputuskan oleh pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini. - Gambar fail
SEMPORNA: Bukan DAP atau parti lain yang menentukan kemenangan Parti Warisan (Warisan) di Semenanjung, tegas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Presiden Warisan itu sebaliknya berkata, jumlah kerusi yang akan dimenangi oleh parti itu bakal diputuskan oleh pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan sinis veteran politik DAP, Lim Kit Siang yang berharap nasib Warisan tidak seburuk seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas memutuskan untuk bertanding di 26 kerusi Parlimen di Semenanjung.
"Di Perlis, atau di Johor... kita akan melihat keadaannya. Kemungkinan pada waktu itu (PRN Johor), Warisan hanya dalam jangka masa tiga minggu sahaja (persiapan), itupun undi kita beribu bukannya beratus.
"Maknanya dengan masa yang mencukupi membolehkan kita menjelaskan hala tuju parti ini, dan saya yakin ia akan mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Rakyat di Kampung Panji, di sini pada Sabtu.
[LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka
Kit Siang sebelum ini menyifatkan keghairahan Warisan meletakkan calon di 26 kerusi di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat sebagai tindakan yang tidak membuahkan hasil.
Mengulas lanjut, penyandang kerusi Parlimen Semporna itu berkata, penerimaan terhadap parti Warisan ketika ini semakin baik di Semenanjung.
Kata Mohd Shafie, antara lain ia dibuktikan menerusi pencalonan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat yang bertanding atas tiket Warisan.
"Mana mungkin bekas Presiden MCA, yang juga bekas menteri kanan di Malaysia menyertai Warisan untuk bertanding atas tiket Warisan, kalau tidak ada penerimaannya.
"Mungkin di Johor itu, kita faham sedikit sebanyak tetapi yang menentukan siapa yang wakil rakyat di Semenanjung ialah bukan DAP, bukan UMNO, bukan Pas, atau bukan PKR, tetapi rakyat," tegasnya.
Selain 26 kerusi di Semenanjung, Warisan turut meletakkan calon di 25 kerusi Parlimen di Sabah dan satu di Labuan pada PRU15.
#PRU15 #Shafie Apdal #DAP #Warisan Semenanjung
;