PRU15: Bubar DUN atau tidak, P. Pinang rujuk Majlis Presiden Pakatan Harapan

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 11, 2022 05:18 MYT
Chow Kon Yeow (tengah) mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Pakatan Harapan Pulau Pinang di Wisma DAP, di George Town, pada Selasa. - Gambar Astro AWANI
GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang sebulat suara akan merujuk kepada Majlis Presiden PH berhubung keputusan sama ada membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat PH Negeri hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, ketetapan yang dibuat hari ini juga selaras dengan keputusan DAP negeri yang akan merujuk Jawatankuasa Tertinggi Parti (CEC) DAP yang akan bermesyuarat malam ini.
“Majlis pimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang telah bermesyuarat dan mencapai kata putus untuk merujuk isu sama ada negeri Pulau Pinang akan membubarkan DUN bagi membolehkan diadakan secara serentak dengan PRU15.
“Sepertimana dinyatakan semalam dengan keputusan hari ini setiap parti, akan merujuk kepada parti masing-masing,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis PH Pulau Pinang di Wisma DAP, di sini, pada Selasa.
Kon Yeow berkata, setiap parti akan bermesyuarat bagi membincangkan langkah parti susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa tiga negeri kekal tidak membubarkan DUN, Kon Yeow berkata, setakat ini pendirian tersebut masih sama namun PH negeri tetap akan merujuk perkara tersebut kepada pimpinan Pusat.
“Kita akan rujuk kepada pimpinan Pusat untuk arahan keputusan, semua akan dihujahkan dalam mesyuarat di peringkat Pusat malam ini,” ujar beliau lagi.
Pada Isnin, Perdana Menteri mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15.
#bubar parlimen #PRU15 #Pakatan Harapan Pulau Pinang #bubar DUN