PRU15: BN tidak boleh terus tangisi kekalahan lalu, berhenti tuding jari - Ismail Sabri

Abd Razak Mohd Ali
November 15, 2022 15:00 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika hadir pada majlis ramah mesra bersama keluarga FELDA Lasah hari ini. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (dua, kanan). - Gambar BERNAMA
SUNGAI SIPUT: Barisan Nasional (BN) tidak boleh terus menangisi kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam masa sama, tegas Perdana Menteri, gabungan berkenaan juga juga tidak seharusnya saling menuding jari mencari kesalahan orang lain.
Menurut beliau, episod duka yang berlaku sebelum ini tidak perlu dibincangkan lagi, sebaliknya,
BN harus bergerak ke hadapan untuk memastikan kemenangan dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
“Yang pentingnya bagaimana kita (BN) perlu menang (PRU15). Jangan kita tangisi benda yang lepas, itu tak akan boleh merubah apa-apa, yang penting kita belajar daripada kesilapan dan pastikan kita akan menang dan menjadi parti yang dominan (untuk) kuasai semula Putrajaya. Itu saja sasaran kita… kita nak menang,” kata Ismail Sabri.
Perdana Menteri berkata demikian dalam majlis ramah mesra bersama keluarga Felda Lasah di Dewan Semai Bakti, Felda Lasah, di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, terdapat segelintir pemimpin BN ketika berkempen dikatakan masih menyalahkan pemimpin tertentu yang didakwa menyebabkan BN tewas pada PRU14.
Sementara itu, mengulas kenyataan Khairy Jamaluddin yang mahu membersihkan UMNO, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau tidak pasti apa yang dimaksudkan calon Parlimen Sungai Buloh itu.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua calon supaya fokus menjaga kawasan masing-masing, bukannya membincangkan isu dalaman parti.
Menurutnya, apa yang paling utama ketika ini ialah untuk memastikan kemenangan BN pada PRU15.
#PRU15 #Barisan Nasional #jangan tangisi kekalahan lalu #ismail sabri yaakob
;