PRU15: BN Tambun memang 'underdog', nama saja tidak jamin kemenangan - Aminuddin

Aida Aziz
Oktober 25, 2022 16:09 MYT
Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah, yang menyifatkan semua pihak mempunyai peluang sama rata untuk menang dalam Plihan Raya Umum ke-15. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Meskipun Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tambun disebut-sebut sebagai 'underdog' bagi menghadapi dua nama besar dari Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), namun, itu bukan penghalang.
Keyakinan itu disuarakan oleh Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah, yang menyifatkan semua pihak mempunyai peluang sama rata untuk menang dalam Plihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelasnya lagi, nama sahaja tidak cukup untuk menjamin kemenangan, kerana apa yang lebih penting ialah gerak kerja dan apa yang boleh ditawarkan untuk membantu rakyat setempat.
"(Calon) BN Tambun untuk PRU kali ini memanglah kita 'underdog', kita akui hakikat itu, tetapi tidak bermakna kita gentar nak menghadapi cabaran, kerana kita pun sudah lama berjuang dalam kawasan Parlimen Tambun ini sendiri.
"Kami di sini, bersama-sama dua Ahli Majlis dengan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk dan lain-lain telah berusaha sehabis baik mungkin untuk menyantuni masalah rakyat.
"Pada kami sebagai sebuah parti politik yang berada di lapangan, kita juga punya peluang sama untuk menang... cuma gerak kerja dan jentera perlu diperkukuh.
"Saya selalu sebut nama sahaja tidak cukup untuk menjamin kemenangan seperti mana yang berlaku pada PRU14, rakyat sudah bijak fikir dan sudah lihat bagaimana kerajaan selain BN mentadbir," kata Aminuddin.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Deepavali Parti IPF Bersama BN Parlimen Tambun, di sini pada Selasa.
Hadir sama barisan Ahli Majlis, Datuk Azizul Kama Abd Aziz dan Datuk Mazlan Abd. Rahman.
Dalam pada itu, beliau yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, sebelum ini turut dicadangkan sebagai calon BN di Parlimen itu pada PRU15.
Menurut Aminuddin, jentera BN sedia menghadapi cabaran dalam memastikan kemenangan parti tersebut.
"Kalau saya dipilih untuk memikul tanggungjawab itu, sebagai ketua parti saya mestilah bersedia, Insya-Allah.
"Dalam keadaan sekarang kita sentiasa menambah baik jentera bagi pastikan segala perancangan dapat dilakukan sebaik mungkin," katanya lagi.
Tambahnya, kawasan Klebang merupakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang besar, dengan pengundi hampir 16,000 iaitu melebihi pengundi di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
#PRU15 #Malaysia Memilih #parlimen tambun #Anwar bertanding di Tambun
;