PRU15: BN Pulau Pinang umum senarai calon Parlimen Khamis ini

Bernama
November 1, 2022 19:05 MYT
Musa berkata beliau akan mengambil watikah selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan senarai calon di Kuala Lumpur malam ini. - Gambar fail
BUKIT MERTAJAM: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan mengumumkan calon yang akan mewakili gabungan itu di 13 kerusi Parlimen negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khamis ini.
Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, berkata beliau akan mengambil watikah selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan senarai calon di Kuala Lumpur malam ini.
"Saya akan mengambil watikah senarai calon yang sudah ditapis dan kemudian kami akan membuat pengumuman calon Khamis ini di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata tiada calon 'payung terjun' dari negeri lain yang akan bertanding di Pulau Pinang kali ini dan semua calon yang dikemukakan kebanyakannya ada muka baharu.
Pada PRU14, BN menang kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang masing-masing menerusi Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Shabudin Yahaya daripada UMNO, namun Shahbudin menyertai Bersatu pada 2020.
Wakil Pakatan Harapan (PH) H mendominasi kerusi Parlimen Pulau Pinang pada PRU14, dengan DAP menang tujuh kerusi manakala PKR empat daripada keseluruhan 13 kerusi Parlimen di negeri itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon (5 Nov) manakala pengundian awal pada 15 Nov ini.
-- BERNAMA
#PRU15 #BN Pulau Pinang #Umum calon #Musa Sheikh Fadzir
;