PRU15: BN Pulau Pinang nafi dokumen tular sokong Zahid sebagai PM

Umavathi Ramayah
November 3, 2022 18:04 MYT
Pengerusinya Datuk Musa Sheikh Fadzir menyifatkannya sebagai fitnah untuk memecah-belahkan keyakinan rakyat terhadap BN. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menyangkal dakwaan kewujudan aku janji ikrar calon parti itu untuk mengangkat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, Pengerusinya Datuk Musa Sheikh Fadzir menyifatkannya sebagai fitnah untuk memecah-belahkan keyakinan rakyat terhadap BN.
"Tak betul, saya nak bagi tahu, tidak ada perjanjian yang dikatakan oleh 13 calon (Parlimen dari Pulau Pinang) yang datang hari ini yang tandatangan aku janji sokong Datuk Seri (Ahmad) Zahid untuk diangkat sebagai perdana menteri.
"Dari awal lagi, Datuk (Ahmad) Zahid sendiri umum, sekiranya BN menang, poster boy adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Ini semua fitnah, dia orang tak ada isu, dia nak pecah belah, tapi Insya-Allah rakyat boleh nilai," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah calon BN Pulau Pinang PRU15 di sini, pada Khamis.
Sejak Rabu, satu dokumen dengan kepala surat UMNO yang memaparkan tandatangan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tular dalam media sosial.
Dokumen aku janji itu antara lain menyatakan ikrar calon UMNO dan BN yang menang pada PRU15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.
Dokumen itu turut menyatakan ikrar untuk menyokong sebarang tindakan Presiden UMNO dalam sebarang perancangan dengan parti atau pakatan politik lain jika UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan dengan majoriti mudah selepas PRU15.
Dalam pada itu, Musa Sheikh memberitahu, BN Pulau Pinang menampilkan 11 wajah baharu daripada 13 Parlimen yang ditandingi parti gabungan itu di negeri itu.
BN Pulau Pinang juga memperlihatkan pengorbanan yang tinggi dan bebas daripada persengketaan dalaman apabila turut memberikan kerusi tradisi kepada parti mesra BN iaitu di Nibong Tebal; Jelutong dan Bukit Bendera.
Buat pertama kalinya, Pulau Pinang turut menampilkan penyertaan calon daripada Makkal Sakti; Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang bertanding sebagai rakan BN.
#Barisan Nasional #Friends of BN #PRU15 #Aku Janji
;