PRU15: BN Perak yakin rampas kembali kerusi yang terlepas ke DAP
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 11, 2022 15:28 MYT
Oktober 11, 2022 15:28 MYT
BAGAN SERAI: Barisan Nasional (BN) Perak yakin mampu merampas kembali beberapa kerusi yang sebelum ini terlepas ke tangan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Keyakinan BN Perak itu adalah berdasarkan pengalaman yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam memastikan usaha itu berhasil,
beliau mempunyai strategi tertentu untuk melakukannya.
“Mengambil pengalaman PRN Melaka dan juga Johor, jadi tak mustahil Barisan Nasional akan memenangi beberapa kerusi yang sebelum ini terlepas ke tangan DAP.
“Ia tak mustahil sebab pengundi sangat dinamik, saya pun ada cara tersendiri juga seperti mana kita buat di Melaka dan juga di Johor, maka di Perak pun saya yakin. Kalau DAP kata dia nak menembusi kawasan UMNO, BN pun akan menembusi kawasan DAP,” katanya.
Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di hadapan Sekolah Kebangsaan Dato’ Alaudin, Selinsing, di sini, pada Selasa.
Awal bulan ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, DAP bercadang untuk keluar dari zon selamatnya pada PRU15 dan bertanding di kerusi Melayu di Perak.
Katanya, pada 2018, parti itu telah bertanding dan memenangi kesemua tujuh kerusi Parlimen di negeri itu.
Menurutnya, mereka ingin bertanding di kerusi tambahan di Perak di peringkat Parlimen dan juga negeri yang sudah pasti enjadi kerusi majoriti Melayu.