PRU15: BN Perak sasar 40 DUN, 15 Parlimen
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 25, 2022 20:20 MYT
Oktober 25, 2022 20:20 MYT
SUNGAI SIPUT: Barisan Nasional (BN) Perak menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu direalisasikan berdasarkan rekod pencapaian lalu termasuk pada PRU14.
Katanya, pada PRU lalu, BN memenangi 27 kerusi DUN dan 12 Parlimen, sebelum beberapa wakil rakyat melompat parti.
"Kalau orang di Kamunting buat keputusan kali ini untuk beri kemenangan kepada BN maka akan jadi 28 (kerusi DUN dimenangi), kalau orang Titi Serong, Behrang, Sungai Rapat, Pasir Panjang, Manjoi, Larut Kubu Gajah dan Selama beri kepada BN... jadi kita dapat 34 kerusi.
"Dengan 34 ini saya yakin kita dapat memberi pentadbiran yang baik, jadi tak perlu lompat-lompat… jadi 34 itu target BN lah… tapi kita nak 40 lah," katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu di Sungai Siput pada Selasa.
Hadir sama Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Dalam pada itu, Saarani yakin pengundi Sungai Siput akan mengundi BN bagi meneruskan kesinambungan legasi Presiden MIC, khususnya Tun Samy Vellu yang banyak membawa pembangunan kepada kawasan itu.
Malangnya, katanya, legasi itu terputus sejak 15 tahun lalu apabila calon BN tewas, sekali gus menyaksikan tiada sebarang pembangunan di kawasan berkenaan.