PRU15: BN Perak lancar manifesto, janji lantik ADUN kumpulan minoriti, orang muda

Abd Razak Mohd Ali
November 8, 2022 05:15 MYT
Saarani berkata ADUN terbabit adalah wakil rakyat lantikan, namun ia memerlukan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak terlebih dahulu. - Foto fail/BERNAMA
IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak akan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kumpulan minoriti dan belia, sekiranya mereka mendapat mandat dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ADUN terbabit adalah wakil rakyat lantikan, namun ia memerlukan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak terlebih dahulu.
Beliau berkata, untuk itu ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Katanya, janji yang terkandung di dalam Manifesto BN Perak itu telah dilaksanakan di Sabah dan Pahang bagi memastikan kestabilan politik.
"Jika kita dapat dua pertiga atau lebih... 40 kerusi daripada 59, ia adalah dua pertiga. Kita dapat 40 bermakna kita akan membawa ke Dewan Undangan Negeri Perak satu usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bagi membolehkan selain daripada 59 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya, maka ada beberapa kerusi...untuk membolehkan kita melantik wakil rakyat secara lantikan.
"Pelantikan mereka itu tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada kumpulan minoriti dan juga nak bagi khusus kepada orang muda," katanya.
Beliau ditemui selepas melancarkan Manifesto BN Perak di Taman Meru Permai, Ipoh, pada Selasa malam.
Menurutnya, selain itu, BN Perak juga akan memastikan Enakmen Antilompat Parti dibentangkan di Dewan Undangan Negeri, selaras dengan Rang Undang-Undang Antilompat Parti di peringkat Persekutuan.
Dalam masa sama, katanya mereka mahu meneruskan peruntukan adil dan saksama kepada semua kawasan Dewan Undangan Negeri bagi memastikan nasib setiap lapisan rakyat terbela.
Jelasnya, Manifesto BN Perak meletakkan satu matlamat utama untuk kestabilan demi kesejahteraan yang didukung oleh lima usaha, empat fokus serta menggariskan 75 inisiatif.
#PRU15 #ADUN lantikan #manifesto BN Perak #Malaysia Memilih
;