PRU15: BN Johor umum manifesto, lancar jentera parti 2 November

Hilmi Malik
Oktober 28, 2022 06:49 MYT
Bercakap kepada media ketika hadir Program Malam Bersama Media di Johor Bahru pada Jumaat, Dr Adham berkata, BN Johor akan bertindak lebih agresif agar keputusan PRN Johor diterjemah sewaktu PRU15. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor akan membentangkan manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2 November ini.
Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ini termasuk pelancaran seluruh jentera parti di negeri itu.
“Kita akan bentang manifesto serta perkembangan ‘Ikhtiar Johor’ seperti yang telah dibentangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
“Lima ikhtiar kita telah bentangkan sehingga menyebabkan BN Johor menang 40 kerusi dan berjaya tubuh kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pada Program Malam Bersama Media di sini semalam.
Dr Adham juga berkata, BN Johor kali ini akan bertindak lebih agresif termasuk dari segi memberi kefahaman kepada pengundi mengenai manifesto BN.
Selain itu, ia akan berusaha memastikan kerjasama di peringkat negeri dan pusat dapat diselarikan bagi mengelak berlakunya ‘undi silang’.
“Kali ini pengundi berdepan banyak maklumat termasuk isu tular di media sosial dan kita akan sampaikan manifesto dengan jelas untuk kita selaraskan di semua peringkat.
“Tak guna kalau kita ada kerajaan Negeri Johor tetapi tidak bersama dengan kerajaan pusat, jadi BN Johor akan lebih agresif kali ini untuk persiapan dan hadapi kemungkinan yang berlaku,” katanya lagi.
Bagi memastikan kemenangan PRN Johor diterjemahkan semasa PRU15, BN Johor turut menempatkan Pengarah Pilihan Raya Negeri, Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Pengarah Operasi BN Johor untuk merangka segala strategi.
#PRU15 #manifesto pilihan raya #BN Johor #Dr Adham Baba
;