PRU15: 'BN jangan terlampau yakin untuk menang' - Anthony Loke
Abd Hadi Che Awang
Oktober 8, 2022 22:17 MYT
Oktober 8, 2022 22:17 MYT
ALOR SETAR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan untuk tidak terlampau yakin untuk memenangi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya ia diadakan dalam waktu terdekat termasuk ketika musim tengkujuh.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sikap itu boleh mengundang padah yang besar seperti apa yang berlaku dalam PRU lalu.
Jelasnya, dalam PRU14, BN dilihat terlalu yakin untuk kekal memerintah negara namun sejarah tercipta apabila parti itu tumpas buat kali pertama dalam sejarah selain hanya mampu mentadbir negeri Perlis dan Pahang.
"Soal takut kepada BN ini... (parti) dia lebih overconfident, saya nak bagi nasihat kepada orang BN, dalam politik ini pantang (ada sikap) overconfident, kalau parti selalu overcofident, selalu dihukum atau mengalami kekalahan.
"Sebelum PRU14 mereka overconfident tetapi mereka kalah juga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Kedah di Pusat Pameran dan Konvensyen Dewan Perhimpunan Cina, Alor Setar pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Anthony menafikan dakwaan bahawa pembangkang takut untuk berdepan dengan BN sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Sebaliknya, keputusan membantah gesaan untuk mempercepatkan PRU15 dibuat berdasarkan ramalan banjir pada penghujung tahun ini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
"Kalau dia (Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) kata mitos, dia kena tanya Jabatan Mateorologi, mereka semalam bawa keluar kenyataan yang cukup keras, mengatakan tidak sesuai (PRU diadakan dalam tempoh terdekat).
"Mengapa (kita) hendak ambil risiko, itu kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Mateorologi, bukannya daripada Anthony Loke, saya tak boleh ramal cuaca, tapi ada pakar yang boleh ramal cuaca (kena ikut mereka)," katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini dilapor mengingatkan pucuk pimpinan parti agar tidak terpedaya dengan tipu helah pembangkang dan musuh-musuh UMNO dan yang cuba memainkan mitos dan naratif lemah serta dangkal berhubung PRU15 yang dicadangkan dalam masa terdekat.
Ahmad Zahid mendakwa pembangkang menggunakan musim banjir dan hujan untuk melengahkan PRU15 selain takut untuk berdepan PRU15.