PRU15: BN, GRS sedia kerjasama sebagai satu pasukan

Astro Awani
Oktober 5, 2022 20:21 MYT
Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi PRU-15 ini nanti bagaimanapun belum mencapai kata muktamad mengenai soal perkongsian kerusi kedua-dua parti. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersiap sedia untuk bekerjasama sebagai satu pasukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Menurut beliau, kepimpinan kedua-dua pihak sedang memperkemaskan formula perkongsian kerusi bagi 25 kawasan Parlimen di Sabah.
"Rundingan belum selesai, tetapi semua berjalan lancar. Pengumuman mengenai agihan kerusi akan diumumkan apabila tiba masanya kelak," katanya ringkas.
Dalam pada itu, memetik laporan The Star hari ini, Setiausaha GRS, Datuk Seri Masidi Manjun turut senada dengan Bung berkaitan persetujuan kerjasama menjelang hari keramat itu nanti.
Masidi berkata, kedua-dua pihak bersetuju dan sedang memuktamadkan urusan perkongsian kerusi bagi memastikan kemenangan bagi setiap calon yang ditampilkan.
Perkara ini sekali gus menamatkan tanda tanya khususnya berkenaan pertembungan kerusi antara calon BN dan GRS pada PRU15 kelak.
Terdahulu, cakap-cakap mengenai pertembungan kedua-dua gabungan itu dalam PRU15 semakin hangat selepas melihat kepada pertembungan UMNO dan Bersatu di peringkat nasional.
BN merangkumi komponen UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA dan MIC.
Manakala, GRS merangkumi komponen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Kerjasama BN dan GRS dijangka mengukuhkan lagi dua gabungan berkenaan dalam berhadapan parti pembangkang, Warisan yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Dalam pilihan raya umum yang lalu, Warisan dan PH berjaya memenangi 14 kerusi manakala BN Sabah hanya memenangi 10 kerusi, sementara parti STAR pula mendapat satu kerusi Parlimen.
Ketika ini, Warisan memegang tujuh kerusi parlimen, BN (3), GRS (8), PH (5), PBM (1).
Kerusi bagi Parlimen Batu Sapi pula masih belum diisi selepas kematian Datuk VK Liew dari Warisan.
#BN Sabah #GRS #kerjasama #PRU15 #Barisan Nasional #Gabungan Rakyat Sabah #pilihan raya #Bung Moktar Radin #Masidi Manjun
;