PRU15: BN banyak pengalaman, rekod kejayaan atasi krisis ekonomi - Shabery Cheek

Israr Khalid
November 15, 2022 10:15 MYT
SHABERY: Kalau orang sakit masuk hospital pun kena distabilkan dahulu keadaannya sebelum diberi ubat. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) sahaja mampu membawa kestabilan disusuli langkah penyelesaian berkesan kepada masalah ekonomi semasa dan mendatang.
Demikian kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa BN mempunyai banyak pengalaman memimpin negara atasi beberapa episod krisis ekonomi ketika menjadi kerajaan sejak terbentuknya negara ini.
“Kuncinya ialah stabil, kalau orang sakit masuk hospital pun dia kena distabilkan dahulu tekanan darahnya, degupan jantungnya dan sebagainya sebelum diberi ubat (untuk merawat penyakitnya).
“Kita rasa berlaku kesukatan yang dialami oleh rakyat sampai ke peringkat makanan, harga barang tinggi dan ini adalah penyakit-penyakit, tapi jawapannya adalah stabilkan kerajaan dahulu,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Kata Shabery, kerajaan bercampur sebelum ini memperlihatkan bahawa setiap pemimpin hanya mahu ‘menjaga wilayah’ masing-masing.
Walaupun benar Perdana Menteri memang dari BN, namun menteri-menteri lain yang dari parti berbeza menyebabkan fokus tidak dapat diberi untuk kepentingan rakyat yang lebih luas.
Kerana itu menurutnya, perlu satu kerajaan yang lebih stabil, dibentuk oleh BN sebagai induk, yang mempunyai lebih banyak pengalaman mendepani krisis dengan jayanya.
Maka tegas beliau, memilih kerajaan akan datang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti adalah bukan perkara yang boleh dibuat main.
“Kita rasa puas hati sehari dua, tak suka orang itu dan ini, padan muka dia kita kalahkan dia tapi apa yang ditanggung oleh rakyat adalah sesuatu yang berpanjangan,” katanya.
BN banyak pengalaman, rekod kejayaan atasi krisis ekonomi - Shabery Cheek
#PRU15 #Malaysia Memilih #Ahmad Shabery Cheek #krisis ekonomi
;