PRU15: Bertembung dengan Razali di Pagoh, saya tidak mahu perkecilkan sesiapa - Muhyiddin
Shuhada Abdul Kadir
September 9, 2022 15:44 MYT
September 9, 2022 15:44 MYT
PAGOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui terbuka dan bersedia berdepan dengan mana-mana individu yang menyatakan kesediaan untuk bertanding di kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sejak tahun 1978 berkata, beliau berpandangan sesiapa sahaja boleh mempertaruhkan nasib di kerusi itu memandangkan Malaysia sebuah negara berdemokrasi.
Mengulas laporan kononnya Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Razali Ibrahim bakal bertanding di kerusi Parlimen Pagoh ujarnya, beliau berlapang dada dan tidak mahu memperlekehkan mana-mana pihak.
“Tak apalah sesiapa nak masuk (bertanding), ini negara demokrasi dan saya tidak mahu memperkecilkan atau mengherdik, saya ‘okay’.
“Dia (Razali) ada kebijaksanaan dia untuk menimbang dan parti dia (UMNO) akan buat buat keputusan dan apa pun saya juga di sini kalau parti saya kata bertanding lagi, saya bertanding lah lagi,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Ziarah Prihatin Komuniti Cina di Pekan Lenga, di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar akan berpindah kawasan dan bertanding di Parlimen Pagoh sekali gus bakal menyaksikan pertembungan antara dua figura politik itu.
Razali yang sebelum ini menang tiga penggal berturut-turut pada PRU11, PRU12 dan PRU13 tewas pada PRU14, dikalahkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menang dengan majoriti 6,953 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam pada itu, mengulas kesediaan PN menghadapi PRU15 yang dijangka dalam masa terdekat, ujar Muhyiddin, pihaknya sudah bersedia berdepan pilihan raya itu meskipun beranggapan masih ada beberapa faktor yang perlu diambil kira.
“Bagi kami PN kita tidak ada masalah dan esok kalau perdana menteri umum bubar pun kita (parti) dah bersedia dan kekal menghadapinya.
“(Tetapi) penentuan ini adalah di pihak antara perdana menteri dengan barisan Kabinet dan dalam Kabinet ada wakil kita yang mana kuasanya dalam perlembagaan kalau nak bubar ianya tak boleh dibuat bersendirian.
“Setakat hari ini saya tidak dengar apa apa keputusan (bubar), tak tahulah kalau esok atau lusa di Kabinet dia (Perdana Menteri) buat keputusan itu terserah kepada mereka,” tambahnya.