PRU15: Bertanding atau tidak, terserah kepada parti - Ahmad Razif
Astro Awani
Oktober 8, 2022 08:57 MYT
Oktober 8, 2022 08:57 MYT
KUALA NERUS: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menerima apa jua keputusan pucut pimpinan parti dalam menentukan kedudukannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu, beliau menyerahkan kepada pimpinan parti bagi memutuskan sama ada akan kekal bertanding di kerusi DUN atau sebaliknya.
"Saya tidak ada masalah. Saya pulangkan segala keputusan kepada pengurusan parti. Kalau parti berkehendakkan saya mempertahankan DUN Seberang Takir, saya akan pertahankan.
"Sekiranya nak dihantar ke kawasan lain, terpulang kepada parti. Dan untuk tidak bertanding juga, terpulang kepada parti," katanya ketika ditemui media di sini semalam.
Sementara itu, ditanya jika namanya dicalonkan berpindah ke kerusi Parlimen, Ahmad Razif memaklumkan, beliau sedia untuk bertanding di mana-mana seperti yang ditentukan parti.
Jelasnya, pimpinan tertinggi parti lebih mengetahui di mana posisi terbaik bagi setiap calon.
Ahmad Razif sebelum ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada Mei 2014, namun Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU-14 dan negeri itu kemudiannya diperintah oleh Pas.