PRU15: Bersatu tolak kerjasama dengan PH, sedia hadapi saingan pelbagai penjuru
Astro Awani
Oktober 15, 2022 14:59 MYT
Oktober 15, 2022 14:59 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu juga mengambil maklum pendirian Majlis Presiden PH yang telah membuat keputusan yang sama, dengan menolak kerjasama bersama Bersatu.
"Bersatu memberikan tumpuan kepada usaha untuk memperkukuh Perikatan Nasional (PN) bersama Pas, Gerakan, SAPP dan STAR Sabah sebagai gabungan politik pelbagai kaum di negara ini yang berhasrat menawarkan kepimpinan yang bebas rasuah, cekap dan prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat
"Berhubung laporan media mengenai kerjasama Bersatu dan PH, Bersatu telah membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan PH dalam menghadapi PRU15," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pengerusi PN itu menambah, Bersatu turut bersedia untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dalam PRU15 melibatkan PN, Barisan Nasional (BN), PH dan parti-parti politik lain yang akan bertanding.