PRU15: Beri peluang kepada generasi baharu bertanding, pesan Anwar kepada Tian Chua

Astro Awani
Oktober 29, 2022 16:01 MYT
Anwar bagaimanapun berkata, akan memberi perhatian terhadap teguran Tian Chua itu kerana beranggapan bekas ahli Parlimen Batu itu mempunyai banyak jasa dan khidmatnya dalam parti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Generasi baharu perlu diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Anwar, tidak semua pemimpin PKR yang mahu berjuang dalam parti perlu menjadi calon dalam PRU15.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dibuat bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang mendakwa pengguguran beberapa muka lama akan merugikan parti.
“Saya ingin tegaskan (kepada) Tian Chua, tidak semua perjuangan itu harus melalui jalur pilihan raya.
“Kita perlukan sokongan tokoh-tokoh lama ini dalam parti untuk terus bimbing anak-anak muda,” katanya, memetik laporan portal FMT.
Anwar bagaimanapun berkata, akan memberi perhatian terhadap teguran Tian Chua itu kerana beranggapan bekas ahli Parlimen Batu itu mempunyai banyak jasa dan khidmatnya dalam parti.
“Semalam saya jumpa dia sebentar dengar pandangan beliau. Sepertimana saya sebut dalam ucapan (pengumuman calon PKR semalam), tidak boleh semua dikekalkan. Kalau dikekalkan semua orang beri sumbangan jadi generasi baru tak mungkin bangkit,” katanya.
PKR juga menggugurkan lapan penyandang ahli parlimen daripada senarai calonnya di Semenanjung Malaysia dan menukarkan kerusi tiga lagi penyandang ke kawasan lain.
Lapan penyandang berkenaan ialah Natrah Ismail (Sekijang), June Leow (Hulu Selangor), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Tan Yee Kiew (Wangsa Maju), Lee Boon Chye (Gopeng), Chan Ming Kai ( Alor Setar) dan Datuk Johari Abdul (Sungai Petani).
Chua yang turut mengintai kerusi Parlimen Batu tidak disenaraikan sebaliknya PKR mengekalkan R Prabakaran bertanding di kawasan tersebut.
#Anwar Ibrahim #Tian Chua #Parti Keadilan Rakyat #PKR #Pakatan Harapan #Parlimen Batu
;