PRU15: Beri mandat kepada mereka yang ada rekod prestasi baik pada masa lalu - Tengku Zafrul

Bernama
November 17, 2022 18:57 MYT
Tengku Zafrul berkata polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum Parlimen dibubarkan ternyata telah menunjukkan hasil yang baik apabila ekonomi negara dapat berkembang walaupun berdepan dengan cabaran global. - Gambar fail
KUALA SELANGOR: Rakyat diseru untuk memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi meneruskan segala polisi yang telah direncana untuk membantu rakyat dan negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum Parlimen dibubarkan ternyata telah menunjukkan hasil yang baik apabila ekonomi negara dapat berkembang walaupun berdepan dengan cabaran global termasuk keadaan geopolitik yang berlaku di Eropah.
"Apa yang berlaku di Ukraine dan Rusia dan sekarang di Poland sedikit sebanyak memberi kesan termasuk ekonomi Eropah yang merundum. Malah lihat pada kadar inflasi juga tinggi kerana harga bahan bakar dan bahan mentah sudah naik.
"Di Amerika Syarikat juga kadar faedah naik dengan begitu tinggi dan ini membebankan rakyat di sana," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata Malaysia turut terkena tempias daripada ketidaktentuan ekonomi global namun dengan polisi yang diperkenal dan dilaksanakan kerajaan, ekonomi negara masih kekal berkembang apabila keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku ketiga meningkat sebanyak 14.2 peratus, yang merupakan kenaikan empat suku berturut-turut.
"Tempoh sembilan bulan pertama pun naik sebanyak 9.3 peratus. Tetapi apa yang penting kita kena lihat ke hadapan, pilihan raya ini Insya-Allah kalau BN kembali dapat membentuk kerajaan kita teruskan polisi yang membantu rakyat dan membangunkan ekonomi," katanya.
Menurutnya, walaupun negara telah menunjukkan prestasi ekonomi yang baik namun Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dengan rekod prestasi positif supaya dapat bersedia untuk menghadapi cabaran global pada masa depan.
-- BERNAMA
#PRU15 #Barisan Nasional #mandat PRU #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
;