PRU15: Beri kerjasama, elak provokasi ketika penamaan calon - PDRM
Afiezy Azaman
November 4, 2022 12:50 MYT
November 4, 2022 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru semua pihak agar memberi kerjasama sepenuhnya dalam mematuhi undang-undang dan mengelakkan sebarang provokasi sepanjang proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok.
Pengarah Operasi PDRM PRU15 Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pihaknya meningkatkan kesiapsiagaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses tersebut berlangsung.
"Selain 31,183 petugas beruniform dan tidak beruniform, PDRM juga akan menggerakkan aset dron bagi menjalankan pemantauan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penamaan calon bagi PRU15 akan berlangsung esok di seluruh negara melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).
Turut diadakan serentak adalah penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.
Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon yang antara lain terdiri daripada pejabat daerah, dewan orang ramai dan sekolah di seluruh negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.