PRU15: Bergerak sendirian, UMNO akan hilang lebih banyak kerusi - Mohd Amar
Muhafandi Muhamad
April 1, 2021 15:55 MYT
April 1, 2021 15:55 MYT
KOTA BHARU: UMNO berkemungkinan akan hilang lebih banyak lagi kerusi sekiranya memilih untuk bersendirian menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa gabungan sama ada Pas mahupun Bersatu.
Pandangan peribadi itu dilontarkan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyifatkan tiada parti yang mampu berdiri sendiri tanpa ada gabungan dalam situasi politik hari ini.
“Saya jangka keadaan hari ini UMNO mungkin akan kehilangan lebih banyak lagi kerusi kalau bertanding secara solo. Itu pandangan kita sebab kita nak ketiga-tiga parti bersama. Selesaikan isu yang jadi pertikaian setakat boleh,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, pilihan raya umum yang lalu memberi gambaran jelas apabila UMNO tewas dan gagal mengekalkan kuasa disebabkan berlaku penolakan rakyat kerana kepimpinan dalam UMNO dan kepimpinan UMNO yang ada pada hari ini merupakan pimpinan lama yang ada diantaranya ditolak rakyat.
Pas katanya tetap mahukan UMNO bersama dalam gabungan Perikatan Nasional dan menghadapi pilihan raya umum dalam satu gabungan.
Untuk itu usaha memujuk UMNO untuk kembali bersama dalam Perikatan Nasional akan diteruskan walaupun UMNO telah membuat keputusan dalam perhimpunan agungnya untuk bersendiri.
Mohd Amar juga percaya masih ramai akar umbi UMNO yang ingin bersama dalam gabungan manakala hanya segelintir kumpulan dalam pimpinan yang menolaknya.
Pas katanya mengharapkan suara akar umbi UMNO dapat mengubah keadaan itu.