PRU15: Bendera parti diturunkan, petugas SPR tampil beri penjelasan
Sinar Harian
November 12, 2022 08:00 MYT
November 12, 2022 08:00 MYT
SHAH ALAM: Seorang lelaki tampil menjelaskan tindakannya yang tular menurunkan bendera-bendera Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.
Halimey Abu Bakar yang mengaku sebagai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, tindakan itu dibuat kerana pemasangan bendera tersebut melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Jelasnya, mana-mana bendera parti yang bertanding dalam pilihan raya tidak boleh dipasang di depan pejabat kerajaan atau mana-mana tempat tumpuan pelancongan.
“Ia kerana perkara ini boleh membuatkan bendera sesebuah parti itu dirampas oleh pihak berkuasa.
“(Kesalahan) ini memang berada dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 SPR.
“Bagi mereka yang tidak boleh memahami undang-undang ini, boleh rujuk SPR bahawa saya memang ejen kepada SPR (bertugas) untuk memastikan bahawa bendera-bendera parti yang bertanding tidak mengganggu pejabat kerajaan atau tempat pelancongan,” katanya dalam satu perkongsian siaran video di TikTok pada Jumaat.
Pada Khamis, tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang pemandu teksi bertindak menurunkan bendera PH. -Sinar Harian