PRU15: Belum ada anak tempatan jadi wakil Simpang Renggam - Fazrul

Hilmi Malik
November 5, 2022 15:43 MYT
Kehadiran calon Perikatan Nasional, Mohd Fazrul Kamat di Parlimen Simpang Renggam menjadi kemunculan pertama anak tempatan di kawasan itu untuk bertanding merebut kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15. - Gambar Astro AWANI
SIMPANG RENGGAM: Kehadiran calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Fazrul Kamat di Parlimen Simpang Renggam menjadi kemunculan pertama anak tempatan di kawasan itu untuk bertanding merebut kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Mohd Fazrul, sudah tiba masanya buat pengundi di kawasan itu membuka laluan kepada anak tempatan untuk menjadi wakil mereka.
"Kalau kita lihat semula sejak merdeka dan PRU kali pertama pada 1955, Simpang Renggam tidak pernah diwakili anak tempatan.
"Saya jadi orang pertama sebagai anak tempatan yang tercalon untuk kawasan ini," katanya ketika ditemui selepas selesai proses pengumuman calon di kerusi itu, di sini, pada Sabtu.
Dalam usaha memenangi hati pengundi Simpang Renggam, Fazrul akan mengangkat agenda yang telah dibawa oleh partinya sepanjang kempen PRU15.
"Fokus saya sama dengan parti (PN) untuk pastikan kestabilan negara serta memastikan negara bebas rasuah dan kebajikan rakyat terbela," katanya lagi.
Sementara itu, beliau turut mempertimbangkan pelawaan penyandang kerusi berkenaan, Maszlee Malik menyertai debat terbuka membabitkan kesemua calon.
Terdahulu, Maszlee memberitahu, kesemua calon telah bersetuju untuk mengadakan debat terbuka berbaki dua hari sebelum hari pengundian.
Dakwa bekas Menteri Pendidikan itu, kesemua calon telah bersetuju dengan cadangan tersebut sewaktu perbincangan di dalam dewan ketika proses penyerahan dokumen pencalonan.
Sementara itu, calon Pejuang, Kamal Kusmin pula teruja dengan penyertaan kali pertamanya bertanding dalam pilihan raya umum, malah akan berentap dengan tiga lagi calon daripada nama yang agak besar dalam dunia politik negara.
"Calon daripada BN (Barisan Nasional) iaitu bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad serta penyandang kerusi parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik adalah dua orang calon yang agak hebat.
"Tidak kurang juga calon daripada PN, Mohd Fazrul Kamat walaupun ini kali pertama beliau bertanding di kerusi Simpang Renggam saya tidak boleh memandang rendah terhadapnya,” kata Kamal.
Kamal berkata, perkara berkenaan tidak menjadi halangan atau cabaran terlalu besar pada dirinya untuk terus memberi saingan dalam usaha untuk memenangi kerusi Simpang Renggam dalam PRU15.
#PRU15 #penamaan calon PRU15 #Parlimen Simpang Renggam #Mohd Fazrul Kamat
;