PRU15: Belia titikberatkan isu kestabilan politik, ekonomi dan kos sara hidup
Firdaus Azil
Oktober 23, 2022 18:25 MYT
Oktober 23, 2022 18:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kestabilan politik, pembangunan ekonomi positif dan pengurusan kos sara hidup yang lebih berkesan.
Itu antara aspirasi dan faktor penentu golongan pengundi muda yang bakal melaksanakan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum ke-15 kali ini, kata Presiden Persatuan Pemimpin Belia Universiti Malaya (UM), Lim San Shien.
Selain itu, beliau berkata, mana-mana parti politik yang berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU15, diharap dapat meningkatkan usaha untuk memastikan peranan belia dalam pembangunan negara, dapat diperkasakan.
“Bagi saya, kehendak belia semestinya untuk kestabilan politik sebab kita tahu dan kita nampak berapa Perdana Menteri telah ditukar. Belia mahukan kestabilan politik, maknanya kerajaan yang cekap dan baik.
“Kedua, dari segi pembangunan ekonomi yang positif, dan ketiga dari kos sara hidup. Kerana ini ada kaitan cukup rapat dengan pembelian rumah pertama bagi belia, saya rasa semua belia ingin memiliki rumah pertama, dan juga berkenaan peluang pekerjaan, peluang bisnes untuk belia.
“Untuk belia, saya sendiri selaku pemimpin mahasiswa, saya berharap agar kerajaan mempunyai lebih banyak usaha pastikan peranan belia diperkasakan,” tambahnya.
Lim berkata demikian ketika ditemu bual Astro AWANI dalam segmen Malaysia Memilih sempena PRU15.
Dalam pada itu, beliau berkata, aspirasi dan kehendak belia berbeza, kerana ada yang tinggal di bandar raya utama, pinggiran bandar serta kawasan pendalaman.
“Mungkin belia di bandar, mereka mungkin inginkan kemajuan, mungkin pengangkutan dari segi LRT, MRT dan sebagainya. Dan untuk di luar bandar mungkin mereka mahukan akses pendidikan sama rata, mungkin ingin jaringan internet lebih laju.
"Yang dapat diakses dengan baik, dan mungkin bantuan untuk mereka B40 dan M40 di kampung dan juga bantuan pendidikan, tuisyen serta mendapatkan peranti tablet dan sebagainya.
“Di bandar, mereka mungkin mahukan lebih banyak kemajuan dari segi ekonomi, infrastruktur pengangkutan dan peluang pekerjaan. Kita perlu tarik lebih banyak pelaburan asing, supaya belia itu dapat kerja dan dapat peluang, dan infrastruktur negara juga dapat dibangunkan dengan lebih berkesan,” katanya lagi.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR pada Ogos, 2022), pengundi muda kali ini bakal menjadi faktor penentu keputusan pengundian, termasuk yang berusia antara 18 hingga 39 tahun meliputi hampir 50.5 peratus daripada jumpa pengundi keseluruhan.