PRU15: Banjir di Long Bemang tidak halang pengundi tunai kewajipan
Astro Awani
November 19, 2022 12:59 MYT
November 19, 2022 12:59 MYT
MARUDI: Proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Long Bemang di sini, masih diteruskan dan berjalan lancar walaupun dalam keadaan banjir.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Sarawak, Henderi Ardimansyah, memaklumkan paras air menunjukkan trend penurunan setakat ini.
Bagaimanapun pihaknya akan terus membuat pemantauan dari masa ke masa.
“Keadaan banjir di SK Long Bemang, Klinik Kesihatan Long Bemang dan Kampung Long Benam beransur surut.
“Pemantauan akan terus dilaksanakan di tiga kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sebelum ini, kawasan tersebut dilaporkan mengalami banjir yang telah menjejaskan 530 orang penduduk namun tiada pemindahan dilakukan.
“Tiada pemindahan dilakukan, berdasarkan maklumat yang kita terima bekalan elektrik telah ditutup sementara waktu oleh pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) 15 November lalu di semua kawasan terjejas banjir untuk keselamatan penduduk kampung,” katanya.
Pusat Mengundi SK Long Bemang terletak dalam kawasan Parlimen Hulu Baram yang mempunyai 43,438 pemilih berdaftar.
Perebutan kerusi itu melibatkan perlawanan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS) dan Ketua Penerangan dan Komunikasi PKR Sarawak, Abun Sui Anyit yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).