PRU15: 'Bangga anak kampung berjaya, namun timbul pula kerisauan lain' - Pengundi Rembau
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 24, 2022 20:00 MYT
Oktober 24, 2022 20:00 MYT
REMBAU: Mungkin sudah terlalu biasa rakyat Malaysia dihidangkan dengan lambakan paparan cerita berkisar rungutan, isu semasa penduduk setempat, kos sara hidup dan pelbagai lagi yang menjadi modal untuk diberi perhatian setiap kali musim pilihan raya.
Ia perkara umum untuk kita memahami sebab musabab kenapa perkara itu akan lebih ditekankan sepanjang tempoh tersebut.
Namun, kebiasaan itu nampaknya tidak mempengaruhi cara berfikir bagi seorang pemimpin masyarakat yang dianggap kecil dalam senario politik negara dan tinggal di kawasan pedalaman seperti Mohammad Yusoff Muslim, 65.
Memerhati secara dekat perubahan masyarakat setempat, kerisauan yang dilontar dan dikongsikannya sememangnya ada kewajaran yang perlu diberikan perhatian bagi sesiapa sahaja yang memimpin mereka di peringkat negeri mahupun Parlimen nanti.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Durian Daun, Rembau itu tidak menafikan fokus pembangunan material, pendidikan dan keperluan masyarakat adalah penting dan menjadi keutamaan.
Malah, Mohammad Yusoff sendiri turut berkongsi rasa bangga dengan pencapaian sebahagian anak-anak muda kampungnya itu dalam pelbagai bidang.
"Kalau nak diikutkan ia membuktikan pada era ini orang kampung di pedalaman seperti kami ini juga seiring dengan kemajuan dari segi asas pembangunan.
"Sudah jarang dan hampir tidak lagi kedengaran adanya mana-mana orang kampung yang terlalu ketinggalan kebelakang dari sudut itu. Ia keperluan, tapi jangan lupa ancaman bahaya andai kita ketinggalan pembangunan asas dalam diri," katanya yang dtemui Astro AWANI yang membuat liputan sekitar daerah Rembau hari ini.
Tambahnya, dia melihat kekurangan peluang pekerjaan yang menyebabkan sebahagian besar golongan muda berhijrah keluar telah mewujudkan keadaan yang tidak baik bagi masa depan dan budaya selaku masyarakat kampung.
Masalah kediaman yang terbiar, aktiviti masyarakat yang memerlukan tenaga orang muda sehinggalah kepada masalah jati diri dan adat budaya asal yang kian hilang antara masalah yang akan menjadi lebih serius jika tidak ditangani sekarang.
"Rumah asal orang tua mereka yang tidak lagi dihuni anak-anak akan mudah menjadi tempat binatang buas dan penagih dadah selain dipenuhi semak samun. Ramai yang keluar tidak lagi balik atas pelbagai sebab dan kekal di luar.
"Kalau jumlah penduduk kecil seperti kampung ini nak buat aktiviti yang perlukan tenaga orang muda maka dah susah. Tapi masalah yang terbesar adalah jati diri, adab dan sifat bangsa yang menentukan nilai pekerti diri seperti orang dahulu sudah semakin tiada dan dianggap biasa," tambahnya.
Tegasnya lagi, dia tidak sama sekali menolak kemajuan dan kejayaan teknologi yang perlu dituruti.
Namun ia seharusnya berjalan seiring dengan asas agama dengan menanam sifat terpuji dalam diri agar menghasilkan satu gabungan putaran hukum alam beserta kepintaran manusia yang lebih lengkap.
"Soal adat dan adab setempat yang baik ketika ini juga sangat terancam dalam diri kalangan orang muda. Jikalah tiada lagi ganerasi yang ada di kampung ketika ini ia pasti akan pupus kerana sudah lama telah mereka lupakan," katanya.
Sepanjang melakukan tinjauan di sekitar daerah membabitkan kawasan Parlimen Rembau yang menjadi perbualan hangat politik semasa, memang banyak dikelilingi kampung tradisi yang mengamalkan budaya hidup masyarakat setempat.
Malah masih ramai penduduknya yang mendiami kediaman yang masih mengekalkan reka bentuk dan seni bina asal yang diwarisi turun temurun, sesuai dengan ciri masyarakat di sebuah negeri yang cukup dikenali dengan adat Perpatih.
Seperti rakyat yang lain, rata-rata daripada mereka tidak sabar menunggu hari keramat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, mahu memilih siapakah wakil rakyat yang mampu mengurangkan kerisauan mengenai masa depan anak-anak mereka nanti selain mampu mengekalkan adat dan tradisi setempat yang ada.