PRU15: Azwan Ali umum tarik diri, tidak jadi 'lawan' abang di Gombak
Afiezy Azaman
November 5, 2022 10:23 MYT
November 5, 2022 10:23 MYT
GOMBAK: Pengacara sensasi dan kontroversi, Azwan Ali mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) P098 Parlimen Gombak.
Adik kepada penyandang kerusi Parlimen Gombak itu berkata, tindakan menarik diri itu dilakukan selepas dia bermimpikan arwah ibunya 'Mak Tom' yang menasihatkannya untuk tidak bertanding.
"Saya bersyukur ada hikmah yang Allah S. W.T tunjuk supaya tidak bertanding, pertama kerana bisikan arwah Mak Tom dalam mimpi saya, jadi dia nasihatkan saya jangan bertanding," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui pemberita di Pusat Pencalonan SMK Sungai Pusu, pada Sabtu.
Azwan turut mendakwa menerima panggilan daripada isteri abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, iaitu Datin Seri Shamshidar Taharin, malam tadi.
"Kami bercakap panjang lebar malam tadi, tapi panggilan itu bukanlah untuk memujuk saya untuk tak bertanding. Jangan salah faham. Kami bercakap mengenai topik lain," ujarnya.
Sementara itu, Azwan turut menzahirkan sokongan terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Gombak, Datuk Seri Amiruddin Shari.
Beliau turut menafikan penarikan diri berikutan tiada wang pendahuluan, memandangkan calon perlu membayar RM10,000 untuk bertanding.