PRU15: Azlan Man gagal pertahan kerusi DUN Bintong

Adie Sufian Zulkefli
November 19, 2022 02:57 MYT
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, Datuk Seri Azlan Man (foto) gagal mempertahankan kerusi itu selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Fakhrul Anwar Ismail. - Gambar fail
KANGAR: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, Datuk Seri Azlan Man gagal mempertahankan kerusi itu selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Fakhrul Anwar Ismail.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu hanya memperolehi 2,996 undi berbanding 7,325 undi yang diperoleh Fakhrul Anwar, yang turut meraih majoriti sebanyak 4,329 undi.
Calon Pakatan Harapan (PH), Azhari Ahmad, memperolehi undi sebanyak 2,029, Shazwan Suban (Pejuang) mendapat 157 undi, Datuk Hashim Suboh (Bebas) meraih 157 undi dan Mohamad Khair Mohd Noor (Warisan) sebanyak 57 undi.
Sementara itu, Fakhrul Anwar berkata kemenangan ini memperlihatkan tsunami suara rakyat yang inginkan perubahan kepimpinan negeri Perlis yang menjadi kubu kuat BN.
"Gelombang ini, saya rasa sesuatu yang tidak mustahil untuk berlaku dan memang dalam jangkaan kami... tetapi yang agak mengejutkan majoriti yang dicapai dalam keputusan pada hari ini adalah satu angka yang cukup besar bagi saya.
"Bagi pihak bekas menteri besar, dia perlu muhasabah diri, dan kita sebagai kepimpinan yang ambil alih perlu mengambil sesuatu yang bermanfaat daripada kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu," ujarnya.
#DUN Bintong #Azlan Man #calon Barisan Nasional #PRU15
;