PRU15: Apa yang perlu Keadilan lakukan - Nik Nazmi
Nik Nazmi Nik Ahmad
Januari 21, 2022 09:15 MYT
Januari 21, 2022 09:15 MYT
BUKANLAH sesuatu yang mustahil untuk Pakatan Harapan (PH) dan KEADILAN memenangi pilihan raya umum yang seterusnya.
Kita perlu bersedia dengan permainan yang akan dilakar oleh UMNO.
Kita telah menghadapi fasa-fasa yang sukar sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ketika rakyat mengharapkan prestasi kita berada di tahap yang tertinggi untuk membantu mereka.
Rakyat mahukan reformasi – pada sektor kesihatan, ekonomi dan perubahan iklim.
Hanya dengan matlamat dan azam yang betul kita akan dapat mengembalikan keyakinan kepada rakyat. Proses mendapatkan kepercayaan rakyat harus segera kita mulakan.
Kita harus melihat demografi pengundi Malaysia setelah Undi18 dilaksanakan. Kita akan melihat penambahan 5.8 juta pengundi dengan 1.2 juta pengundi berumur di antara 18 sehingga 21 tahun.
Sekiranya PRU15 diadakan pada tahun ini, pengundi termuda lahir pada tahun 2004 – selepas tercetusnya Reformasi.
Kita harus tetap berbangga dengan sejarah yang dimiliki oleh KEADILAN, namun kita harus mencari jalan untuk menjadi relevan dalam kalangan pengundi-pengundi muda.
Sebagai contoh yang mudah, kita harus membiasakan diri dengan aplikasi yang terkenal dengan demografi anak muda – seperti TikTok.
Kita harus menggunakan platform seperti ini untuk menyampaikan mesej tentang apa yang kita perjuangkan.
Kita tidak boleh berada pada takuk yang lama – masih lagi menggunakan isu-isu ketika PRU14 sebagai modal. Saya yakin pengundi-pengundi sudah mula muak dengan isu-isu yang sama berulang kali.
PH dan KEADILAN sudah pernah menjadi kerajaan Persekutuan. Kita juga memiliki kerajaan di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan. Rakyat akan menilai kita ketika kita sedang berkuasa.
Ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan, selain daripada Undi18, kita juga cuba mengembalikan hak keistimewaan untuk Sabah dan Sarawak yang akhirnya gagal kerana permainan politik Umno, Pas, dan GPS!
Kita juga mendesak supaya gaji minimum dinaikkan, dan menjadikan sekolah mudah diakses untuk semua. Kerajaan ketika itu juga lebih terbuka kepada media.
Cuma tempoh 22 bulan ini juga ada cacat dan kelemahannya. Ia adalah masa yang sesuai untuk kita semua jalan ke hadapan dan fokus membantu rakyat.
Kita harus memiliki pendirian yang jelas tentang isu-isu berkaitan rakyat. Kita harus fokus bercakap isu-isu yang penting terhadap rakyat – termasuklah isu kebajikan dan kepentingan negara.
Kita tidak seharusnya menjadi populis semata-mata. Selalunya politik populisme tidak membawa apa-apa perubahan.
KEADILAN harus datang dengan idea-idea untuk mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat. Dasar-dasar yang bakal membantu rakyat seharusnya kerap kita laungkan.
Kita tidak boleh menyalahkan orang muda dengan tuduhan mereka terlalu memilih kerja. Kita dapat melihat begitu ramai graduan yang terpaksa bekerja di bawah kelayakan mereka untuk menyara kehidupan.
KEADILAN juga harus mula bercakap tentang isu-isu perubahan iklim.
Kita harus melindungi kesejahteraan alam dan ekonomi, kedua-duanya memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sesebuah negara.
Selain itu, kita juga harus membawa suara minoriti di Malaysia – terutamanya dalam isu-isu berkaitan bangsa, agama, jantina, dan bahasa.
Sebagai parti berbilang bangsa yang paling berjaya di negara ini, ia adalah tugas hakiki parti.
Kemudian, kita harus melihat isu lompat parti yang telah menjadikan negara ini kucar-kacir. Ia tidak boleh diulangi.
Kita mesti menolak mereka-mereka yang lompat parti – sebelum kita dihukum oleh pengundi.
Sesiapa yang ingin memiliki jawatan di parti ini harus komited dan berdedikasi untuk agenda reformasi. Kita hanya akan diundi sekiranya parti dilihat berwibawa.
Walaupun generasi hari ini tidak lahir pada zaman Reformasi, tapi mereka tetap memiliki niat yang sama – mahu membina semula Malaysia yang lebih adil.
Apa yang saya perkatakan tentang keinginan generasi muda mampu dicapai sekiranya Presiden Keadilan, Anwar Ibrahim mampu meletakkan pasukan muda yang kuat dan boleh dipercayai.
Jalan kita masih yang panjang. Kita hanya akan berjaya jika bekerja keras, saya yakin kita mampu memberikan rakyat kerajaan yang mereka benar-benar perlukan.
* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN dan Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau merupakan mantan Ketua AMK dan Pemuda PH. Beliau telah menulis beberapa buku, termasuklah 9 Mei 2018: Catatan dari Garis Depan.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.