PRU15: Apa perkembangan di Sabah? Muhyiddin dijadual tiba di Kota Kinabalu 4 petang ini
Abdul Hafiz Mustadi
Oktober 11, 2022 14:43 MYT
Oktober 11, 2022 14:43 MYT
KOTA KINABALU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mempengerusikan mesyuarat pimpinan parti itu di Sabah pada hari ini.
Beliau dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kira-kira jam 4 petang.
Antara lain, bekas Perdana Menteri itu dijangka mengadakan mesyuarat tertutup dengan pemimpin-pemimpin PN dan GRS yang dipercayai mengenai perihal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Terdahulu, menurut sumber dalaman PN pusat, Muhyiddin juga dijadual akan bertemu dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum meneruskan mesyuarat tertutup sekitar jam 7.30 petang, di Kota Kinabalu.
Untuk rekod, gendang PRU mula dipalu selepas Parlimen dibubarkan pada Isnin (Oktober 10, 2022).
Di Sabah, pucuk pimpinan antara GRS dan BN negeri telah mendedahkan kesediaan untuk bergabung bagi menghadapi PRU-15.