PRU15: Anwar tanding di Tambun tidak beri kesan pada BN - Presiden MIC

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 21, 2022 18:11 MYT
Menurut Vigneswaran rakyat sudah mengenali siapa Anwar sebenarnya dan telah muak dengan sejarah lamanya.- Gambar fail/Astro AWANI
SUNGAI SIPUT: MIC yakin keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) di Perak.
Ini kerana rakyat sudah mengenali siapa beliau sebenarnya dan telah muak dengan sejarah lamanya.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, sebagai Ketua Pembangkang, Anwar hanya pandai membangkang tetapi tidak berbuat apa-apa untuk rakyat.
"Bagi kita ini, saya ingat rakyat dah muak sejarah yang lama, perjuangan lama bila dia tak bawa apa-apa kebaikan kepada rakyat, kita buka buku yang baharu. Kalau ingat rakyat ni bodoh, akan beli juga janji-janji mereka, saya ingat itu tak kan jalan lagi," katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan kesihatan dan pendidikan kepada penduduk di Pusat Khidmat Parlimen Sungai Siput pada Jumaat.
BACA: PRU15: Anwar Ibrahim umum bertanding di Tambun
BACA: PRU15: Tarikh mengundi ditetapkan 19 November
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!
Beliau yakin, berdasarkan pengalaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, BN akan menang kerana rakyat telah kembali meyakini jasa parti itu.
Anwar ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di Ipoh, malam Khamis mengumumkan akan bertanding di Parlimen Tambun.
Sementara itu Vigneswaran berkata, Anwar tidak perlu terus berjanji kerana banyak janji lama yang pernah diberikan kepada rakyat tidak ditunaikan walaupun menjadi kerajaan selepas PRU14 seperti menurunkan harga minyak dan menghapuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pembangkang juga katanya tidak harus menjadikan janji atau manifesto seperti barang lelongan.
"Jangan jadikan manifesto sebagai bahan lelongan, siapa akan bagi harga paling tinggi, maka janji paling tinggi ini, umpama barangan lelong, tetapi lepas menang.. oh, kita tak harap akan memang. Mana boleh cakap macam tu," katanya lagi.
Menurutnya, kesediaan mana-mana Perdana Menteri dan menteri Kabinet untuk memotong gaji dan elaun sebenarnya tidak banyak menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
Katanya, isu seperti kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat yang patut diberikan keutamaan menerusi pentadbiran sebuah kerajaan yang kukuh dan punya hala tuju yang jelas.
PRU-15 | Janji Anwar jika jadi Perdana Menteri
Ketika berucap pada Konvesyen Pakatan Harapan di Ipoh, malam Khamis, Anwar memberi jaminan sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri pada pasca PRU15, perkara pertama yang akan dilakukan adalah dengan melakukan pemotongan gaji dan elaun bagi jawatan berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan keadaan ekonomi yang didakwa semakin mencengkam rakyat di pelbagai peringkat.
#Malaysia Memilih #PRU15 #Anwar Ibrahim #MIC
;