PRU15: Anwar sekali lagi tegaskan tidak bubar DUN kerana mahu bantu mangsa banjir
Ridauddin Daud
Oktober 15, 2022 18:09 MYT
Oktober 15, 2022 18:09 MYT
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menegaskan keputusan untuk tidak membubarkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pemerintahan gabungan itu adalah semata-mata kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap membantu mangsa banjir.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah lebih mudah untuk menggerakkan semua bantuan sekiranya masih ada kerajaan yang sah sekiranya bencana berlaku.
"Kita mahu kerajaan negeri yang sah untuk guna jentera, kewangan untuk bantu mangsa banjir dan sebab itu, sebaik sahaja diletakkan jawatan macam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, ia sudah melanggar prinsip (kalau guna jentera kerajaan) undang-undang dan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Tumpuan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang adalah untuk bantu mangsa banjir, perencanaannya... semualah yang meringankan beban mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Iltizam Wanita dan Jentera PRU15 Wanita Pakatan Harapan di sini pada Sabtu.
Mengangkat tema Wanita Harapan Negara, iltizam itu merangkumi perlindungan hak, jaminan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat.
Terdahulu Astro AWANI melaporkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Menurut Anwar, keputusan itu diambil bagi memastikan persiapan dibuat bagi menangani banjir di tiga negeri terbabit.
Mengulas lanjut, jelasnya, keputusan itu juga dibuat selepas perbincangan diadakan bersama DAP dan Amanah serta wakil rakyat di beberapa negeri terbabit.