PRU15: Anwar perjelas 'pertembungan', kekeliruan pembahagian kerusi PH

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 30, 2022 12:40 MYT
Anwar mengakui terdapat sedikit kekeliruan kerana rundingan terakhir di kalangan mereka ialah semalam. - Gambar fail
IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjelaskan kekeliruan mengenai agihan kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kalangan parti komponen dan rakan kerjasama dalam pakatan itu.
Beliau mengakui terdapat sedikit kekeliruan kerana rundingan terakhir di kalangan mereka ialah semalam.
Menurutnya, antara yang hadir dalam rundingan itu ialah beliau sendiri, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Amanah, Datuk Hatta Ramli.
"Kita bincang dan putuskan... umpamanya Sungai Siput kekal Keadilan (PKR), Tapah kekal Keadilan, Sembrong juga Keadilan. Kemudian kita bincang dengan DAP tentang Pontian diumumkan kemudian.
"Tentang Changkat Jong... dalam 10 hari yang lalu itu kedua-kedua memohon dan telah berbincangan, Majlis Presiden (PH) bersetuju Changkat Jong kekal dengan DAP.
"Itu bukan (keputusan) peringkat negeri. Ada pandangan, ada hujah masing-masing… Amanah memberi hujah yang agak kuat mempertahankan Changkat Jong tetapi setelah mengambil kira itu semua, keputusan konsensus pimpinan PH adalah untuk memberikan kepada DAP," katanya.
Beliau ditemui selepas program minum petang bersama rakyat di Kampung Ulu Chemor, Ipoh hari ini.
Menurutnya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) telah diperuntukan kerusi Parlimen Muar, Tanjung Karang, Tanjung Piai dan beberapa lagi yang akan diumumkan kemudian.
Bagi pihak PKR pula, katanya, ia telah diputuskan dan maklumat terperinci akan dimaklumkan oleh Rafizi.
Beliau yakin isu pembahagian kerusi itu tidak akan mewujudkan pertelingkahan antara parti komponen dalam PH.
Bagaimanapun, ujarnya, ia mungkin memerlukan sedikit masa untuk semua pihak memahami keputusan yang telah dibuat pucuk pimpinan.
#PRU15 #Anwar Ibrahim #isu pembahagian kerusi #Changkat Jong