PRU15: Anwar Ibrahim umum bertanding di Tambun
Amirrul Rabbani
Oktober 20, 2022 22:33 MYT
Oktober 20, 2022 22:33 MYT
IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap pada Konvensyen Harapan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini sebentar tadi.
Presiden PKR itu berkata keputusan itu dibuat sebagai menyahut cabaran untuk bertanding di kerusi bukan tradisi PH seperti pemimpin DAP, Lim Kit Siang.
“Dan saya mahu rakan-rakan PH di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, untuk melihat keyakinan kita.
“Saya bukan tawan kerusi kita yang mudah, tetapi saya katakan saya mahu Perak bersama diangkat martabatnya.
“Perak akan jadi barisan hadapan dalam perjuangan pilihan raya kali ini. Sebab itu saya akan ‘berlabuh’ di Tambun,” katanya.
Hadir sama pada konvensyen itu ialah Timbalan-timbalan Pengerusi PH antaranya, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Dalam pada itu, Anwar berkata hasratnya untuk bertanding di Perak adalah sebagai usaha ‘membersihkan kekotoran’ politik di negeri itu.
“Titah Sultan Perak berulang kali... bahawa ketegasan tuanku yang sebenarnya bosan dengan sikap dan kerakusan gelojoh tokoh-tokoh politik. Malu kalau kita jadi orang politik yang disamakan dengan mereka.
“Jadi saya mahu beritahu dan akan mempersembahkan kepada tuanku Sultan Perak bahawa kami sama-sama akan membersihkan politik negeri Perak,” katanya
Tambah beliau, Perak mempunyai potensi ekonomi yang hebat dan setanding negeri-negeri dipimpin PH seperti Pulau Pinang dan Selangor.
Justeru katanya sekiranya PH berjaya memenangi semua kerusi yang dipertandingkan, Perak mampu diangkat sebagai sebuah gergasi ekonomi baharu.
Anwar dijangka berdepan dengan penyandang Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu disebut-sebut akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15.
Pada PRU14 lepas, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menang dengan majoriti 5,320 undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dan Ibrahim Zakaria (Pas).
Pengumuman Anwar itu juga menandakan beliau bakal meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson disandangnya selepas menang dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, pada 13 Oktober 2018.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memenangi PRU15.