PRU15: Anak Paul Yong tanding kerusi DUN Tronoh

Abd Razak Mohd Ali
November 5, 2022 19:38 MYT
Bryan Yong, 25, berdepan pertembungan enam penjuru di DUN Tronoh iaitu Steven Tiw (PH), Leong Chee Wai (BN), Sin Koon Yen (PN), Roslan Ismail (Pejuang) dan Shahimudin Hasim (Bebas). - Foto ihsan Sinar Harian
BATU GAJAH: Bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong mencuri tumpuan di Pusat Penamaan Calon (PPC) Parlimen Batu Gajah apabila mengiringi anaknya, Bryan Yong Wu Sean yang menjadi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh, di sini, hari ini.
Penyandang kerusi DUN Tronoh itu berpakaian serba ungu bersama penyokong dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) berarak ke PPC di Dewan Bandaran Kinta, di sini.
Bryan Yong, 25, berdepan pertembungan enam penjuru di DUN Tronoh iaitu Steven Tiw (PH), Leong Chee Wai (BN), Sin Koon Yen (PN), Roslan Ismail (Pejuang) dan Shahimudin Hasim (Bebas).
Bryan Yong ketika ditemui media berkata, keputusannya untuk bertanding kerusi itu bagi menyambung legasi bapanya.
Malah, kata anak muda itu, bapanya turut memberi restu untuk berkecimpung dalam politik dengan bantuan rakan-rakan dalam PBM.
Pada PRU14, Paul Yong memenangi kerusi itu atas tiket Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 10,501 undi selepas menewaskan calon dari BN, Yuen Chan How dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Chin Kwai Heng.
#anak Paul Yong #Bryan Yong Wu Sean #calon PBM DUN Tronoh #PRU15
;