PRU15: Amirudin Shari sah bertanding di Gombak

Faris Danial Razi
Oktober 28, 2022 23:23 MYT
Pengumuman Amirudin bertanding di Parlimen Gombak dibuat malam ini.
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari sah bakal bertanding di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu diumumkan pada majlis pengumuman calon PKR di Ampang Jaya pada Jumaat malam.
Desas-desus mengenai beliau akan dipertaruhkan di kerusi Gombak bertiup kencang selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi bayangan bahawa beliau bakal merampas kerusi tersebut daripada penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Gombak dimenangi Mohamed Azmin yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 48,721 undi dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan Pas, Khairil Nizam.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dilaporkan mahu mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15.
Mohamed Azmin menjadi ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal dengan bertanding atas tiket PKR sebelum keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tahun lalu.
#PRU15 #Amirudin Shari #Parlimen Gombak #calon PKR
;